
ARAU, 18 Ogos – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perlis menyalurkan bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM4,995 sebulan kepada waris pemandu komuter KTMB,Allahyarham Mohd Fadzil Abdul Karim, 50 tahun yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kangar-Padang Besar, pada 3 Ogos lalu.
- PERKESO sahkan kematian sebagai bencana kerja dan menyelesaikan tuntutan dalam masa dua minggu, memuji pengurusan caruman majikan.
- PERKESO menyalurkan Faedah Orang Tanggungan kepada waris bagi membantu kelangsungan hidup keluarga.
- Skuad PERKESO Prihatin serahkan Kotak Prihatin dan baucar Faedah Pengurusan Mayat; isteri menghargai bantuan itu.
Pengarah PERKESO Perlis, Ahmad Firdaus Hashim memaklumkan bayaran berkenaan melibatkan pencen penakat kepada isteri Allahyarham Mohd Fadzil, Suryani Ishak, 46 tahun, sebanyak RM2,997 sebulan, manakala anak Allahyarham menerima RM1,998 sebulan.
“Allahyarham Mohd Fadzil merupakan pencarum aktif melalui majikannya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan hasil siasatan mendapati kejadian yang berlaku disahkan sebagai Bencana Kerja.
“PERKESO juga berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh dua minggu dan saya berterima kasih kepada KTMB kerana caruman setiap pekerja diurus dengan baik serta mengikut jadual yang telah ditetapkan,”katanya pada Program Skuad PERKESO Prihain yang turut dihadiri Eksekutif Kanan Traksi KTMB Wilayah Utara, Izwan Iswatt Fadhil dan Eksekutif Traksi Komuter Utara, Muhd Yazi Idris.
Pada kunjungan itu, Skuad PERKESO Prihatin turut menyerahkan sumbangan Kotak Prihatin serta baucar bayaran Faedah Pengurusan Mayat kepada keluarga Allahyarham Mohd Fadzil.
Sementara itu, isteri Allahyarham Mohd Fadzil, Suryani menzahirkan penghargaan kepada PERKESO serta KTMB atas bantuan dan keprihatinan.
“Alhamdulillah, sumbangan ini sangat besar untuk kami sekeluarga meneruskan kehidupan,”katanya.