
LABUAN, 27 Jun – Lapangan Terbang Labuan kembali beroperasi seperti biasa hari ini selepas tiga butir bom peninggalan Perang Dunia Kedua berjaya dimusnahkan dalam operasi khas awal pagi tadi.
- Kontraktor menemui objek disyaki bom semasa kerja pembinaan di lereng bukit berhampiran lapangan terbang.
- Unit Pemusnah Bom PDRM bersama Unit Pemusnah Bom TUDM mengesahkan objek itu ialah bom udara aktif.
- Penutupan landasan membatalkan lima penerbangan melibatkan 1,219 penumpang dan melencongkan dua penerbangan ke Kota Kinabalu.
- Orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri objek mencurigakan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata, operasi itu dijalankan susulan penemuan sebuah objek disyaki bom oleh seorang kontraktor yang sedang menjalankan kerja pembinaan di kawasan lereng bukit berhampiran lapangan terbang, semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Unit Pemusnah Bom Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan objek berkenaan ialah bom udara yang masih aktif.
Pemeriksaan lanjut di lokasi sama turut menemukan dua lagi bom sebelum ketiga-tiganya berjaya dimusnahkan bagi memastikan kawasan berkenaan selamat.
“Proses pembersihan dan pemusnahan telah berjaya dilakukan. Selepas pemeriksaan terperinci di landasan, pihak TUDM dan MAHB membuka semula laluan yang kini selamat digunakan untuk penerbangan berjadual hari ini.”
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Lapangan Terbang Labuan.
Susulan penutupan sementara landasan bermula kira-kira pukul 2.40 petang semalam, lima penerbangan membabitkan 1,219 penumpang dibatalkan, manakala dua lagi dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Turut hadir Komander Pangkalan Udara Labuan, Brigedier Jeneral Hamidi Hashim; Pengurus MAB Labuan, Mohd Zuraffly Md. Zuki; serta Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan, Kepten (PA) Marinus Mathius.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri sebarang objek mencurigakan yang dipercayai bahan letupan, sebaliknya segera memaklumkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.