
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Seramai 941 peminjam telah menerima manfaat menerusi Skim Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu (SPPRNT), dengan 776 daripada mereka berjaya melunaskan pinjaman sekali gus memiliki rumah sendiri.
- 941 peminjam menerima manfaat SPPRNT; 776 telah selesai membayar pinjaman dan kini memiliki rumah sendiri.
- Ketua Setiausaha KPKT berkata kejayaan itu membuktikan keberkesanan skim membantu rakyat memiliki kediaman.
- Skim melalui proses penyelarasan sejak 2012 untuk diurus lebih tersusun dan cekap.
- Langkah ini dijangka memperkukuh pelaksanaan pembiayaan perumahan negeri menerusi Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu i-RAHMAN.
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr M Noor Azman Taib, berkata, kejayaan itu membuktikan keberkesanan skim berkenaan dalam membantu rakyat memiliki kediaman.
“Sehingga kini, seramai 941 peminjam telah mendapat manfaat menerusi skim ini. Daripada jumlah itu, 776 peminjam telah selesai membayar pinjaman dan memiliki rumah, manakala selebihnya masih aktif di bawah tabung amanah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan pengurusan Skim Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu (SPPRNT) kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham di Wisma Darul Iman, di sini.
Menurut beliau, selaras dengan penyerahan pengurusan itu, KPKT turut memindahkan baki dana terkumpul SPPRNT berjumlah lebih RM23 juta kepada kerajaan negeri.
Katanya, langkah tersebut membolehkan skim yang melalui proses penyelarasan sejak 2012 diurus secara lebih tersusun dan cekap, sekali gus mempercepat penyaluran pembiayaan kepada rakyat yang memerlukan rumah.
Penyerahan pengurusan itu dijangka memperkukuh pelaksanaan inisiatif pembiayaan perumahan rakyat negeri menerusi Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-RAHMAN).