
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pemain industri produk tempatan serta pemegang taruh dipelawa memberi sebarang cadangan atau pandangan dalam merangka dasar dan strategi yang lebih berkesan bagi menangani lambakan produk import termasuk dalam platform e-dagang.
- Setiap syor akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet bagi Memperkasakan Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan.
- Jawatankuasa ditubuhkan bagi menyelaraskan kementerian dan agensi supaya KPDN tidak bergerak secara silo.
- Objektif termasuk meningkatkan pertumbuhan dan nilai sumbangan produk tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan setiap syor yang dikemukakan itu akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasakan Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan.
“Penubuhan jawatankuasa berkenaan pada 17 Julai lepas itu bagi menangani isu-isu berbangkit yang diselaraskan dengan kerjasama melibatkan kementerian serta agensi berkaitan bagi pelaksanaan dasar lebih berkesan dengan KPDN tidak bergerak secara silo.
“Jawatankuasa berkenaan juga bertanggungjawab memastikan objektif antaranya bagi meningkatkan pertumbuhan serta nilai sumbangan produk tempatan yang membantu usahawan tempatan.
“Strategi berkenaan antara lain berupaya mengurangkan kebergantungan terhadap produk import,”katanya selepas merasmikan Program Pertunjukan Fashion Forward Batik Malaysia sempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.
Mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.