
PETALING JAYA, 6 Ogos – Agenda pemerkasaan wanita terus diperkukuh dengan menggalakkan kerjasama lebih erat antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan pelbagai pihak berkepentingan.
- Anugerah Wanita Ikon menghargai pencapaian wanita dan menjadi platform menonjolkan sumbangan serta membuka peluang kepada orang lain.
- KPWKM terus melaksanakan inisiatif Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030, menumpu ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan.
- Sebanyak 26 penerima diumumkan bagi kategori Wanita Ikon negeri, muda, waja dan inspirasi sebagai persediaan ke Gala Oktober.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata, usaha itu penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk berjaya.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa mengalu-alukan kerjasama erat dengan pertubuhan, agensi kerajaan, sektor swasta dan semua pihak berkepentingan bagi memperluaskan lagi agenda pemerkasaan wanita di negara ini.
“Saya percaya apabila kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat berganding bahu, kita bukan sahaja mampu melahirkan lebih ramai wanita berjaya malah lebih ramai pemimpin wanita yang akan mencorakkan masa depan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Media Pengumuman Penerima Anugerah Wanita Ikon Negeri 2026/2027 di Auditorium ANGKASA, hari ini.
Pemberian pengiktirafan seperti Anugerah Wanita Ikon Malaysia bukan sekadar menghargai kejayaan individu, malah menjadi platform untuk mengetengahkan wanita yang terus menyumbang kepada masyarakat serta membuka peluang kepada orang lain untuk turut berjaya.
KPWKM akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bawah Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030 dengan memberi tumpuan kepada aspek ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan wanita.
Pada majlis itu, seramai 26 penerima diumumkan sebagai pemenang Anugerah Wanita Ikon Negeri 2026/2027 melibatkan kategori Wanita Ikon Negeri, Wanita Ikon Muda Negeri, Wanita Ikon Waja Negeri dan Wanita Ikon Inspirasi Negeri, sebagai persediaan ke pentas Gala Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2026/2027 pada bulan Oktober tahun ini.