
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-16 di ibu negara.
- Seri Paduka berkenan menerima Sembah Kenal Penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16 yang dibacakan Datuk Dr Anwar Ridhwan.
- Beliau berkenan mengurniakan Anugerah Sastera Negara Ke-16 kepada waris, isteri Allahyarham Dr Abdul Rahman, Salmah Ali.
- Dr Abdul Rahman menghasilkan lebih 100 karya, membentuk wacana sastera, memupuk empati, dialog budaya dan perpaduan rakyat.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 3.00 petang disambut oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Raja Zarith Sofiah kemudiannya berkenan menerima Sembah Kenal Penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16, Allahyarham Dr Abdul Rahman Napiah yang dibacakan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkap Ketua Panel Anugerah Sastera Ke-16 Datuk Dr Anwar Ridhwan.
Usai Sembah Kenal itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Anugerah Sastera Negara Ke-16 kepada waris yang juga isteri kepada Dr Abdul Rahman, Salmah Ali.
Sebelum itu Raja Zarith Sofiah menerima Sembah Ucapan Menjunjung Kasih daripada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang juga Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-16.
Beliau dalam sembah ucapannya berkata, pengurniaan itu merupakan penghormatan negara kepada penerima atas sumbangan bakti menghasilkan pelbagai karya bermutu tinggi.
Pengurniaan berkenaan bukan sahaja memperkukuh budaya ilmu malah turut mengangkat persuratan Melayu dan memupuk semangat cinta terhadap nilai hasil seni dalam kalangan masyarakat.
“Dunia kepengarangan beliau yang prolifik telah mencetus dan menggerakkan rasa bangga akan hasil seni anak tempatan dalam persada persuratan yang dihormati.
“Kepengarangan Sasterawan Negara Ke-16, Mana Sikana (Allahyarham Dr. Abdul Rahman Napiah) telah membentuk perpaduan rakyat Malaysia melalui pembinaan kesedaran, empati, dialog budaya dan nilai kemanusiaan dalam karya kreatifnya,” katanya.
Beliau berkata novel, cerpen dan drama Dr Abdul Rahman mengajak pembaca memahami kepelbagaian masyarakat Malaysia melalui perspektif yang lebih mendalam.
Pengaruh Dr Abdul Rahman terhadap kepengarangan penulis Malaysia sangat besar kerana beliau bukan sahaja menghasilkan karya kreatif, malah membentuk cara berfikir tentang sastera melalui teori, kritikan, pengajaran dan pembinaan wacana akademik.
Terdahulu, Dr Abdul Rahman telah menghasilkan lebih daripada 100 buah karya, termasuklah karya penting seperti Tanah di Hujung Bendang (1970), Pengadilan (1983), Di Hujung Taming Sari (2010) dan Pasir-Pasir di Pasir Salak (2011).