
PUTRAJAYA, 6 Ogos – Perbadanan Putrajaya (PPj) menambah jumlah penerima penghargaan daripada 70 kepada 100 orang tahun ini dengan nilai hadiah keseluruhan RM62,500 sebagai usaha menggalakkan lebih ramai pemilik hartanah menjelaskan cukai taksiran lebih awal.
- Program penghargaan mengiktiraf pembayar cukai berdisiplin dan menyemai budaya pembayaran awal cukai taksiran di kalangan pemilik hartanah.
- Kategori khas diperkenal untuk lonjakan paling tinggi memberi dorongan kepada pihak pengurusan perumahan bertanggungjawab.
- Pengiktirafan turut diberikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bersama dan Perbadanan Pengurusan atas komitmen mengurus kawasan kediaman.
- Hasil kutipan cukai disalurkan semula untuk inisiatif serta perkhidmatan bandar; tunggakan dianggarkan sekitar RM18 juta namun masih terkawal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata program penghargaan tahunan itu bukan sekadar mengiktiraf pembayar cukai yang berdisiplin, malah turut menyemai budaya pembayaran awal dalam kalangan pemilik hartanah di Putrajaya.
“Tahun ini kita tambah daripada 70 pemenang kepada 100 pemenang. Kita juga memberi anugerah kepada pengurusan perumahan yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
“Kita wujudkan satu kategori khas untuk lonjakan paling tinggi bagi memberikan dorongan kepada mereka yang mentadbir kawasan perumahan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2025 dan Anugerah Penarafan Bintang Kualiti Pengurusan Skim Pemajuan Berstrata 2025, di sini hari ini.
Pengiktirafan turut diberikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) bagi menghargai komitmen mereka mengurus kawasan kediaman yang disifatkan sebagai satu tanggungjawab besar.
Menurut Hannah, pembayaran cukai taksiran bukan sahaja satu tanggungjawab pemilik hartanah, malah hasil kutipan itu akan disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan perkhidmatan bandar.
Sementara itu, Presiden PPj, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir berkata, jumlah tunggakan cukai taksiran di Putrajaya ketika ini dianggarkan sekitar RM18 juta.
“Namun keadaan itu masih terkawal memandangkan kebanyakan pemilik hartanah masih berada dalam tempoh pembayaran.
“Bil cukai taksiran bagi tahun ini baharu dikeluarkan dengan tarikh akhir pembayaran pada 31 Ogos, manakala kadar pembayaran lewat ketika ini hanya sekitar dua peratus,” katanya.