KUSKOP lulus pembiayaan RM570.5 juta kepada lebih 32,000 usahawan, koperasi di Sabah

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin pada sesi soal jawab lisan sempena Mesyuarat Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Sebanyak RM570.5 juta pembiayaan diluluskan kepada 32,042 usahawan dan koperasi di Sabah menerusi agensi pembiayaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian perkukuh pembangunan usahawan Sabah menerusi inisiatif PowerUp 10K; komitmen dana pembiayaan RM15 bilion pada peringkat nasional 2026.
  • Amanah Ikhtiar Malaysia meluluskan RM178.6 juta kepada 28,122 usahawan Januari hingga Jun; tambahan kira-kira RM4 juta kepada 660 lagi sehingga Julai.
  • TEKUN Nasional meluluskan RM70.5 juta kepada 3,492 usahawan sehingga Jun; tambahan lebih RM20 juta disalurkan menjadikan hampir RM90 juta.
  • Portal HPM 2026, Karnival HPM dan Hab PMKS Sabah sediakan platform sehenti untuk maklumat pembiayaan, permohonan dalam talian dan khidmat nasihat.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, kementerian turut memperkukuh pembangunan usahawan di negeri itu menerusi inisiatif PowerUp 10K, dengan komitmen menyediakan dana pembiayaan RM15 bilion di peringkat nasional pada 2026.

“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) meluluskan pembiayaan sebanyak RM178.6 juta kepada 28,122 usahawan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini. Sehingga Julai, AIM akan menyalurkan tambahan kira-kira RM4 juta kepada 660 lagi usahawan.

Bagi TEKUN Nasional, pembiayaan RM70.5 juta telah diluluskan kepada 3,492 usahawan sehingga Jun. Sehingga Julai, tambahan lebih RM20 juta akan disalurkan, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan dari Januari hingga Julai hampir RM90 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Phoong Jin Zhe mengenai peruntukan atau pinjaman daripada program yang disediakan agensi di bawah KUSKOP kepada usahawan di Sabah, di Parlimen.

Selain itu katanya, Bank Rakyat meluluskan pembiayaan sebanyak RM208.6 juta kepada 172 usahawan dan koperasi, manakala SME Bank menyediakan pembiayaan RM105 juta kepada 77 usahawan.

SME Corp. Malaysia pula meluluskan pembiayaan RM3.2 juta kepada 172 usahawan, sementara Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan pembiayaan RM4.7 juta kepada tujuh koperasi di Sabah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Dalam pada itu, Datuk Mohamad berkata, portal Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 memudahkan usahawan di Sabah dan seluruh negara mendapatkan maklumat berkaitan pembiayaan serta mengemukakan permohonan secara dalam talian.

Beliau berkata, Karnival HPM yang dianjurkan di Sabah turut menjadi platform sehenti kepada usahawan mendapatkan khidmat nasihat, memohon pembiayaan serta meneroka peluang pemasaran dan jaringan perniagaan.

Menurutnya, Hab PMKS Sabah yang ditubuhkan SME Corp. pada Julai 2025 turut berfungsi sebagai pusat sehenti bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan khidmat nasihat serta akses kepada pelbagai bantuan kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.