
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Masyarakat mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak berkuasa bagi membantu menangani ancaman keselamatan yang semakin kompleks.
- Laporkan maklumat jenayah segera; jangan tunggu menjadi mangsa.
- Jadilah mata dan telinga pihak berkuasa untuk lawan ancaman moden seperti serangan siber dan penyebaran berita palsu.
- Menyalurkan maklumat bukan pilihan tetapi kewajipan undang-undang; tingkatkan kesedaran melalui pendidikan dan kempen.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Dr. Che Audah Hassan berkata, masyarakat perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam mendepani ancaman seperti serangan siber, pencerobohan data, penyebaran berita palsu serta jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata, maklumat mengenai jenayah perlu disalurkan segera tanpa perlu menunggu sehingga seseorang itu menjadi mangsa.
“Kita menggunakan platform media yang ada untuk menggalakkan orang awam menjadi masyarakat prihatin yang menyalurkan maklumat tentang sesuatu kesalahan.
Menyalurkan maklumat itu bukan satu pilihan, sebaliknya ia adalah kewajipan dari sudut undang-undang seperti yang diperuntukkan dalam Kanun Tatacara Jenayah,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, tahap kesedaran rakyat, khususnya generasi muda, terhadap ancaman keselamatan moden masih perlu dipertingkatkan menerusi kempen kesedaran dan pendidikan.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan masyarakat lebih peka terhadap ancaman dalam dunia digital dan tidak mudah menjadi mangsa jenayah siber.
Sementara itu, syarikat keselamatan siber global, Kaspersky, mendedahkan sebanyak 18.8 juta ancaman siber berasaskan web dikesan di Malaysia sepanjang 2025, dengan purata lebih 51,000 cubaan serangan berniat jahat setiap hari.
Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan jumlah kerugian akibat penipuan dalam talian di negara ini mencecah RM2.7 bilion sepanjang tahun yang sama.