Lesen Network School dibatalkan, pengendali disenarai hitam – Exco

Datuk Mohd Jafni Md Shukor/ RTM

KULAI, 27 Julai- Lesen perniagaan Network School di Forest City, Iskandar Puteri, Johor dibatalkan serta-merta, manakala pengendalinya disenarai hitam selepas didapati melanggar syarat perlesenan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua pelanggaran utama dikesan: iklan tidak mematuhi syarat lesen dan perbezaan antara permohonan lesen dengan operasi sebenar.
  • Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana syarikat yang menyalahgunakan lesen dengan menjalankan aktiviti di luar kelulusan.
  • Johor mengalu-alukan pelaburan tetapi tidak akan bertolak ansur terhadap pelabur yang melanggar syarat PBT dan undang-undang.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata dua pelanggaran utama dikesan membabitkan penggunaan iklan yang tidak mematuhi syarat lesen serta perbezaan antara butiran permohonan lesen dengan operasi sebenar yang dijalankan.

Beliau berkata tindakan tegas bukan hanya dikenakan terhadap Network School, malah mana-mana syarikat yang menyalahgunakan lesen dengan menjalankan aktiviti di luar kelulusan akan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Johor kini menjadi penerima pelaburan nombor satu dengan nilai RM110 bilion dan kita mempunyai dasar yang sangat mesra pelabur. Namun, kita tidak menggalakkan pelabur yang datang ke Johor melanggar syarat-syarat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Semua syarikat, tidak kira siapa, tidak boleh lari daripada undang-undang dan garis panduan PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival TVET dan Kerjaya Perbandaran Kulai di sini hari ini.

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) memaklumkan pembatalan lesen perniagaan Network School serta arahan menghentikan semua aktiviti syarikat itu berkuat kuasa 22 Julai lalu selepas didapati melanggar syarat pelesenan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.