Enam lelaki didakwa culik, tuntut wang tebusan RM8 juta mengaku tidak bersalah

Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menculik dan menuntut wang tebusan RM8 juta dua minggu lepas – Foto Bernama

PETALING JAYA 27 Julai – Enam lelaki yang disyaki menculik seorang lelaki dan menuntut wang tebusan RM8 juta, dua minggu lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa bersama tujuh lagi menculik lelaki 44 tahun, menuntut wang tebusan RM8 juta.
  • Kejadian berlaku di restoran Dataran Sunway sekitar 5.15 petang pada 16 Julai.
  • Dituduh bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, hukuman 30-40 tahun dan sebatan.
  • Pendakwaan tidak menawarkan jaminan, mahkamah menolak permohonan jaminan; sebutan semula ditetapkan pada 11 September.

Pemilik kedai cuci kereta, A.Ravichandran, 45, R.Elanggovan, 43 dan M.Jeyaraj, 43; peniaga minyak terpakai, Moses De Bretto John Patrick, 40, Ziyauddin, 33 dan pemandu e-hailing, Muhammad Afiq Safine, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama tujuh lagi individu yang masih bebas menculik seorang lelaki berusia 44 tahun dengan tujuan mendapatkan wang tebusan berjumlah RM8 juta.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Dataran Sunway, di sini, kira-kira pukul 5.15 petang pada 16 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire memaklumkan pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

“Pertimbangan itu turut mengambil kira jumlah wang tebusan yang besar iaitu RM8 juta serta hukuman berat yang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut,” katanya.

Sementara itu, peguam T. Daneish dan S. Vinesh yang mewakili Moses memohon mahkamah membenarkan anak guam mereka diikat jamin atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Peguam Kailash Sharma yang mewakili Ravichandran, Elanggovan dan Jeyaraj turut memohon jaminan atas alasan sama, manakala dua lagi tertuduh, Ziyauddin dan Muhammad Afiq yang tidak diwakili peguam turut mengemukakan permohonan berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan jaminan terhadap semua tertuduh.

11 September depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.