
TELUK INTAN, 27 Julai – Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang cedera dalam kemalangan maut di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, Ahad lalu kini dilaporkan stabil selepas selesai menjalani pembedahan di bahagian kepala.
- Pemandu berusia 28 tahun dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
- Kenderaan melanggar sebuah motosikal, sebuah kereta dan seorang kanak-kanak di tepi jalan.
- Dua pelajar perempuan berusia 16 dan 17 tahun yang menaiki motosikal maut di tempat kejadian.
- Pemandu direman selepas saringan awal air kencing positif benzodiazepine; siasatan dijalankan mengikut akta berkaitan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Chua Kok Lian berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.35 petang itu, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
Kenderaan berkenaan kemudian melanggar sebuah motosikal, sebuah kereta dan kanak-kanak terbabit yang berada di tepi jalan.
Kemalangan itu mengakibatkan dua pelajar perempuan berusia 16 dan 17 tahun yang menaiki motosikal, maut di tempat kejadian.
Pemandu kereta terbabit kini direman bagi membantu siasatan selepas saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis benzodiazepine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) (a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan berkaitan dadah dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.