GEORGE TOWN, 30 September - Koperasi Pulau Pinang disaran memanfaatkan geran Mutiara MADANI secara strategik.
Ia bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang risiko sepanjang musim Monsun Timur laut.
Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata peruntukan tahunan RM200,000 yang diluluskan untuk tahun 2025 memberikan fleksibiliti kepada koperasi untuk menguruskan risiko iklim secara langsung.
Tambahnya, pendekatan ini membolehkan setiap koperasi bertindak sebagai barisan pertahanan awal, sekali gus menjamin bekalan makanan untuk terus stabil meskipun berlaku cuaca yang tidak menentu.
"Kita membuka seluas-luasnya (peluang) untuk setiap koperasi ini secara kreatif untuk menggunakan wang tersebut. Tidak kisah sama ada memiliki peralatan atau pun persiapan, siap siaga monsun yang akan datang. Kita memberi kreativiti kepada pihak koperasi untuk mereka menampung kos ekonomi sekarang. Kita yakin kerajaan negeri cuba sedaya mungkin untuk membantu golongan-golongan wira agro ini," kata beliau ketika ditemui selepas temubual di konti MutiaraFm, di sini hari ini.
Sejak tahun 2021, geran di bawah Program Bantuan Pembangunan Koperasi telah menyalurkan bantuan kewangan bernilai RM1.4 juta.
Jumlah tersebut memberi manfaat kepada sejumlah 182 buah koperasi bagi memperkasakan operasi mereka.