fb fb fb fb fb

Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas bakal siap 2029

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas di Pekan, Pahang akan dibangunkan dengan nilai pelaburan RM75 bilion, sekali gus menjadi projek berimpak tinggi negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek seluas lebih 1,000 ekar itu dijangka siap sepenuhnya pada 2029.

Jelas beliau, pelaksanaan projek hasil kerjasama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang dan Teroka Majubina Holdings.

“Pembangunan mega ini mampu mewujudkan sehingga 25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, khususnya anak-anak Pahang, selain memberi limpahan manfaat besar kepada ekonomi negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) projek berkenaan di ibu negara.

Kompleks tersebut akan dibangunkan secara berfasa dengan tiga komponen utama.

Fasa pertama, 'Green Vessel Recycling' dijangka mula beroperasi pada Julai 2027, diikuti fasa kedua, Fasiliti Pembinaan Kapal pada Julai 2028.

Manakala, fasa ketiga, Tank Farm Oil Platform pada 2029.

Menurutnya, dengan kewujudan kompleks itu, Pahang berpotensi muncul sebagai hab maritim serantau, pusat kitar semula kapal berteknologi hijau, serta hub minyak dan gas berdaya saing di rantau ini.

Selain itu, projek ini juga bakal menjadi pemangkin utama agenda pembangunan negeri selari gagasan Aspirasi Pahang 1st dan pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 (PET30).

“Projek ini akan mula dalam tempoh kira-kira lapan bulan dari sekarang. Jika dapat diawalkan, lebih baik.

Ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah menambahkan limpahan ekonomi kepada negeri Pahang,” katanya.

Majlis menandatangani perjanjian pajakan bagi pembangunan kompleks itu turut disaksikan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Teroka Majubina Holdings Berhad, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN