fb fb fb fb fb

Komitmen ACWA Power perkukuh Malaysia sebagai pemain utama tenaga serantau

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Komitmen syarikat penyahgaraman air terbesar dunia, ACWA Power memilih Malaysia sebagai hab utama di Asia Tenggara mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam tenaga mampan serantau dan menyokong usaha ke arah ekonomi rendah karbon.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebook menyatakan bahawa beliau mengalu-alukan keputusan itu.

"Ini satu lagi perkembangan positif hasil kerjasama erat Malaysia–Arab Saudi, khususnya selepas pertemuan saya dengan pengasas ACWA Power semasa Sidang Kemuncak ASEAN–GCC.

"Pelaburan ini mengiktiraf dasar peralihan tenaga Malaysia, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, serta memacu pemindahan teknologi," menurut hantaran itu.

ACWA Power kini menjalin kerjasama strategik dengan TNB Power Generation Sdn Bhd, UEM Lestra Bhd dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd untuk membangunkan projek tenaga boleh baharu, hidrogen dan turbin gas kitaran gabungan (CCGT) selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Pada 27 Mei lepas, ACWA Power menandatangani memorandum persefahaman dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk memudah cara pelaksanaan projek pelaburan strategik dalam infrastruktur tenaga bersih di seluruh Malaysia.

Syarikat yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi itu menyasarkan kapasiti sebanyak 12.5 gigawatt menjelang 2040 dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak US$10 bilion.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI