
KULIM, 16 Julai – Sebuah kilang semikonduktor di kawasan Perindustrian Kulim Hi Tech (KHTP), di sini diarah menghentikan sementara operasi selepas dikesan melepaskan air sisa berwarna putih sehingga mencemarkan parit awam.
- JAS Kedah menyiasat selepas menerima maklumat awam dan bertindak berdasarkan hasil siasatan.
- Siasatan pada 14 Julai mendapati punca kegagalan sistem pengolahan efluen di premis.
- JAS mengeluarkan Notis Arahan dan melaksanakan penahanan operasi kelengkapan (POK) untuk membendung pencemaran.
- Beberapa sampel efluen dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis; premis berdepan hukuman mengikut Peraturan Efluen 2009.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah melakukan siasatan hasil maklumat awam berkaitan perkara itu.
“Menerusi siasatan yang dijalankan pada 14 Julai lalu mendapati ia berpunca daripada kegagalan operasi sistem pengolahan efluen di premis terbabit.
“JAS Kedah telah mengeluarkan Notis Arahan kepada pihak premis mengambil langkah segera bagi menghentikan pencemaran yang berlaku,” kata Sharifah Zakiah.
JAS Kedah turut menjalankan penahanan operasi kelengkapan (POK) ke atas mesin di bahagian produksi kilang terbabit pada Rabu bagi membendung pencemaran dari terus berlaku. Bebarapa sampel efluen diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Premis berkenaan boleh dikenakan tindakan bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.