
KUALA LUMPUR,16 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempelawa semua pemegang lesen yang layak bagi pelaksanaan inisiatif Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM), projek strategik negara bawah rangka kerja Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP).
- Projek SALAM menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak, mewujudkan rangkaian domestik lebih kukuh dan kepelbagaian laluan geografi.
- Sistem SALAM akan meningkatkan kapasiti rangkaian, memperkukuh kesinambungan perkhidmatan serta mempertingkatkan daya tahan infrastruktur komunikasi.
- Projek ini menyokong peluasan perkhidmatan jalur lebar dan rangkaian 5G serta merancakkan pembangunan awan, pusat data dan teknologi AI.
- Selaras Peraturan 5 USP 2002, pemegang lesen yang layak perlu mengemukakan Pendaftaran Minat dan Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat untuk penilaian.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, projek SALAM akan menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekali gus mewujudkan rangkaian sambungan domestik lebih kukuh dan mempunyai kepelbagaian laluan geografi serta menyokong peluasan perkhidmatan jalur lebar serta rangkaian 5G.
“Sistem SALAM akan merangkumi 10 Stesen Pendaratan Kabel (Cable Landing Stations – CLS) yang dihubungkan melalui empat segmen kabel dasar laut dengan anggaran panjang keseluruhan laluan sejauh 5,582 kilometer.
“Ia akan meningkatkan kapasiti rangkaian, memperkukuh kesinambungan perkhidmatan serta mempertingkatkan daya tahan infrastruktur komunikasi di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Sistem kabel dasar laut merupakan tunjang utama komunikasi digital moden yang menampung sebahagian besar aliran data domestik dan antarabangsa.
Pengukuhan infrastruktur itu penting bagi memastikan perkhidmatan komunikasi yang selamat, stabil dan berterusan kepada sektor perniagaan, kerajaan serta rakyat, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap sambungan digital berkelajuan tinggi.
Sistem itu akan mewujudkan kepelbagaian laluan sambungan bagi meningkatkan redundansi rangkaian, mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan serta memperkukuh daya tahan komunikasi negara.
“Ia turut merancakkan pembangunan infrastruktur awan, pusat data dan teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus memacu ekonomi digital serta memperkukuh daya tahan negara,” tambah kenyataan itu.
Selaras dengan Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Penyediaan Perkhidmatan Sejagat) 2002, semua pemegang lesen yang layak dipelawa mengemukakan Pendaftaran Minat berserta Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat untuk tujuan penilaian.