
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Seramai 18,062 bakat tempatan telah dilatih sehingga Disember 2025 bagi menyokong pembangunan industri semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), selaras sasaran kerajaan melahirkan 60,000 tenaga kerja mahir.
- Strategi Semikonduktor Nasional menjadi kerangka utama memperkukuh ekosistem semikonduktor dan AI serta memfokuskan pembangunan bakat melalui program ETSI.
- Sektor semikonduktor catat pelaburan diluluskan RM91.9 bilion bagi Jan 2024 hingga Mac 2026, mencerminkan keyakinan pelabur global.
- Kerajaan sasarkan 700,000 pekerjaan baharu menjelang 2030, gaji median pembuatan RM4,510 dan GERD dinaikkan kepada 3.5% KDNK.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, pencapaian itu menunjukkan usaha pembangunan bakat negara berada pada landasan yang tepat bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
“Kerajaan juga memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dengan sasaran 60,000 tenaga kerja terlatih. Sehingga Disember 2025, sebanyak 18,062 bakat tempatan telah dilatih, menandakan pencapaian yang memberangsangkan dan berada pada landasan yang betul,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, pembangunan bakat berkenaan dilaksanakan menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (National Semiconductor Strategy – NSS) yang menjadi kerangka utama negara untuk memperkukuh ekosistem semikonduktor dan AI.
Menurut beliau, sektor semikonduktor merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM91.9 bilion bagi tempoh Januari 2024 hingga Mac 2026, terdiri daripada RM82.9 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dan RM8.9 bilion pelaburan domestik (DDI).
Katanya, prestasi itu mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap kestabilan dasar pelaburan negara serta daya saing ekosistem semikonduktor Malaysia.
Dalam jawapan kepada soalan tambahan, Sim berkata, kerajaan menyasarkan mewujudkan 700,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2030, selain meningkatkan gaji median sektor pembuatan kepada RM4,510 sebulan.
Beliau berkata, Strategi Semikonduktor Nasional turut menyasarkan melahirkan 60,000 jurutera dan juruteknik tempatan menerusi program Engineering Talent for Semiconductor Industry (ETSI) bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Selain itu, kerajaan menyasarkan peningkatan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) daripada satu peratus kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 menerusi pendekatan penyelidikan dan pembangunan berpaksikan industri.