
MELAKA, 16 Julai – Kerajaan Negeri Melaka berhasrat untuk menjadi pusat utama pembuangan sisa elektronik (e-waste) negara.
- Merancang memohon kepada kerajaan pusat selepas berbincang dengan pemain industri semikonduktor negeri.
- Usaha bertujuan mencari penyelesaian e-waste negara melalui sistem pengurusan lebih berkesan, mengurangkan impak alam sekitar.
- Beberapa lokasi berpotensi dikenal pasti untuk tujuan pengurusan e-waste; kesesuaiannya akan dibincangkan.
- Pernyataan dibuat selepas Majlis Perasmian Program MSIA Southern Semiconductor Networking and Dialogue 2026 di Bandaraya Melaka.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya merancang permohonan kepada kerajaan pusat selepas mengadakan perbincangan bersama pemain industri semikonduktor di negeri itu.
Usaha tersebut bertujuan mencari penyelesaian masalah e-waste yang melanda negara menerusi penyediaan sistem pengurusan yang lebih berkesan, sekali gus mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
“Kita sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang berpotensi untuk dijadikan pusat e-waste di Malaysia dan perkara itu akan dibincangkan bagi menentukan kesesuaiannya.
“Sekiranya cadangan ini direalisasikan, Melaka akan menjadi negeri pertama yang memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan pusat setempat e-waste negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program MSIA Southern Semiconductor Networking adn Dialogue 2026 di Bandaraya Melaka.