
KUALA LUMPUR, 20 Julai -Keuntungan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mencukupi untuk menampung
sepenuhnya liabiliti pembayaran pencen bagi tempoh jangka panjang.
- Pembiayaan pencen adalah cabaran fiskal utama, memerlukan pembaharuan dasar dan tekad politik untuk memastikan kelestarian sistem pencen.
- Hanya 38 peratus pencarum kini mencapai simpanan asas, menunjukkan kebimbangan terhadap kesiapsediaan kewangan persaraan.
- Kerajaan memberi kelonggaran terhad pengeluaran KWSP bagi pendidikan, haji dan keperluan mendesak tetapi tidak akan memperluaskan kemudahan tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu pembiayaan pencen menjadi antara cabaran fiskal utama negara yang memerlukan pembaharuan
dasar, serta tekad politik bagi memastikan kelestarian sistem pencen, di samping mengambil kira kepentingan penjawat awam dan keupayaan kewangan
kerajaan.
“Kita berdepan tuntutan daripada sebahagian kita yang berhasrat mengeluarkannya dengan mudah. Setakat ini, kita ada usaha untuk memudahkan pengeluaran dana.
“Bagi situasi memerlukan dana ketika sakit, keperluan mendesak dalam bidang pendidikan, ada dana yang dibenar dikeluarkan. Pencarum juga harus tahu hanya 38 peratus pencarum ketika ini mencapai simpanan asas mengikut julat umum,” katanya.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan turut memahami keperluan pencarum yang berdepan masalah kewangan.
Sehubungan itu, beberapa kelonggaran diberikan bagi pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Akaun Fleksibel tanpa sebarang syarat pengeluaran, serta Akaun Sejahtera untuk tujuan tertentu seperti pendidikan dan menunaikan ibadah haji.
“Kerajaan tidak bercadang untuk memperluaskan lagi kemudahan pengeluaran simpanan KWSP kerana langkah sedemikian boleh menjejaskan kepentingan pencarum dalam jangka panjang,” jelasnya lagi.
Beliau menjawab pertanyaan dikemukakan oleh Senator Mohd hasbie muda berhubung kemampuan pulangan KWAP untuk membiayai sepenuhnya pembayaran pencen tanpa tanggungan dana kerajaan di Dewan Negara.