Datuk Seri Mohamad Hasan ketuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-59

Mesyuarat dijangka memberi tumpuan kepada kesan krisis di Timur Tengah terhadap rantau Asia Tenggara / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Manila, Filipina.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat menumpukan kesan krisis Timur Tengah terhadap Asia Tenggara termasuk dagangan, pelaburan, keterjaminan tenaga, keselamatan makanan dan daya tahan rantaian bekalan.
  • Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen memperkukuh kepusatan, solidariti dan daya tahan ASEAN dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.
  • Malaysia akan mempengerusikan Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN-China selaras peranan sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China 2024 hingga 2027.

Kenyataan Kementerian Luar menyebut mesyuarat sehingga 24 Julai ini, dijangka memberi tumpuan kepada kesan krisis di Timur Tengah terhadap rantau Asia Tenggara khususnya dalam aspek dagangan serta pelaburan, keterjaminan tenaga dan makanan juga daya tahan rantaian bekalan.

“Penyertaan Kuala Lumpur ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, mencerminkan komitmen dan iltizam Malaysia dalam memperkukuh Kepusatan ASEAN, solidariti dan daya tahan ASEAN dalam mendepani persekitaran global yang semakin mencabar.

“Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dengan Rakan Dialog ASEAN bakal memberi peluang kepada ASEAN untuk menilai semula kerjasama sedia ada, membincangkan kerjasama praktikal dan meneroka hala tuju serta bertukar pandangan mengenai cabaran geopolitik semasa dan pendekatan terbaik untuk mengatasinya,”kata kenyataan itu.

Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN turut dijangka membincangkan usaha pembinaan Komuniti ASEAN, pelaksanaan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara bersempena ulang tahun ke-50 triti berkenaan serta keutamaan dan pencapaian utama Kepengerusian ASEAN oleh Filipina.

“Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka menerima pakai beberapa dokumen hasil, termasuk Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59, yang bakal merumuskan hasil perbincangan serta keputusan strategik dan penting yang dicapai di mesyuarat-mesyuarat berkenaan,”kata kenyataan itu lagi.

Datuk Seri Mohamad juga dijadual menghadiri Perbincangan Suamuka antara Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dengan wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) serta Mesyuarat Konsultasi Tidak Rasmi Terbuka Mengenai Pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara.

Beliau turut dijadual menghadiri Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dengan Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Kanada, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Selain Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Campur Tiga Ke-27, Forum Serantau ASEAN Ke-33 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-16.

Beliau juga dijangka menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi Negara-Negara Pihak kepada Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara serta Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Ke-5.

Pada 22 Julai, Datuk Seri Mohamad bakal mempengerusikan Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-China bersama Menteri Luar China, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh 2024 hingga 2027.

Beliau turut dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat daripada negara-negara Rakan Dialog ASEAN bagi membincangkan isu dua hala serta perkara-perkara berkepentingan bersama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.