PSR 7s buka ruang cungkil bakat baharu ragbi

Saingan membuka peluang bagi menilai potensi pemain-pemain muda 

PUTRAJAYA, 6 September – Putrajaya Super Rugby (PSR) 7s 2026 menjadi platform mencungkil bakat baharu ragbi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Persatuan Ragbi Putrajaya berkata saingan memberi peluang menilai potensi pemain muda.
  • PSR 7s 2026 berlangsung tiga siri sepanjang Ogos hingga awal bulan, melibatkan 16 pasukan dan hampir 340 pemain.
  • Tujuh pemain dipilih ke PSR 7s Dream Team; hampir 40 lagi dikenal pasti untuk pemilihan akhir 14 pemain Putrajaya.
  • ASAS RC menewaskan Southern Oilers RC 17-7 untuk muncul juara keseluruhan; kapten Arif Hakimi anggap ia penutup terbaik.

Presiden Persatuan Ragbi Putrajaya, Anwarrul Aswad Ahmad berkata saingan itu memberi peluang pihaknya untuk menilai potensi pemain muda.

“Kebanyakan pemain berusia antara 18 hingga 24 tahun dan kita sebenarnya mempunyai bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan,”katanya selepas perlawanan akhir dan Majlis Penyampaian Hadiah PSR 7s Siri Ketiga di Padang Ragbi Alamanda, di sini.

PSR 7s 2026 berlangsung dalam tiga siri sepanjang Ogos hingga awal bulan ini melibatkan 16 pasukan, hampir 340 pemain dan 144 perlawanan dalam tempoh enam hari.

Selain tujuh pemain yang dipilih menyertai PSR 7s Dream Team berdasarkan prestasi sepanjang saingan, hampir 40 pemain turut dikenal pasti untuk menjalani pemilihan akhir bagi membentuk 14 pemain terbaik Putrajaya untuk saingan National 7s pada November.

Dalam aksi final Siri Ketiga, ASAS RC menewaskan Southern Oilers RC 17-7 untuk muncul juara keseluruhan PSR 7s 2026.

Sementara itu, Kapten ASAS RC, Arif Hakimi Mohd Nazil menyifatkan kemenangan itu sebagai penutup terbaik selepas pasukannya tewas pada final Siri Kedua.

“Alhamdulillah kali ini pasukan dapat menunjukkan prestasi yang paling cemerlang selepas siri kedua pasukan tewas di final. Jadi, untuk final Siri Ketiga ini, kami dapat menunjukkan prestasi yang terbaik untuk menghabiskan saingan sebagai penutup,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.