
KAJANG, 20 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.8 peratus melepasi unjuran awal, sebagai prestasi yang luar biasa ditengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia.
- Kejayaan dicapai hasil kecekapan, komitmen dan integriti penjawat awam dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.
- Penjawat awam menarik pelaburan, mempercepat kelulusan dan mengamalkan pendekatan berhemah menyantuni pelabur domestik dan asing.
- Kabinet menggubal dasar, pelaksanaan dijayakan dengan pandangan dan bantuan penjawat awam.
- Anwar mengharapkan penyampaian perkhidmatan awam dipertingkat; selesaikan isu sampah, perparitan, dan kekal keamanan serta kestabilan negara.
Jelas beliau, kejayaan tersebut berjaya dicapai hasil kecekapan, komitmen dan integriti penjawat awam dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.
“Kecekapan yang menarik pelaburan, kelulusan yang lebih cepat dan kaedah berhemah termasuk menyantuni pelabur-pelabur domestik dan asing, antara peranan yang telah dilaksana penjawat awam.
“Di peringkat kami (kabinet) pula menentukan penggubalan dasar tetapi tetap dilaksana dengan bantuan juga pandangan penjawat awam,” katanya ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam zon tengah di Universiti Islam Selangor.
Datuk Seri Anwar dalam masa sama mengharapkan penyampaian perkhidmatan awam terus dipertingkat termasuk menyelesaikan isu-isu tempatan.
“Isu-isu seperti sampah serta perparitan, masih diterima dan kita sedia memperbaiki dan menambah baik perkhidmatan.
“Bagaimanapun, perkhidmatan awam telah melaksanakan tugas masing-masing dengan baik seperti keamanan yang dikecapi hasil peranan PDRM, ATM serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam menjamin kesinambungan dasar serta kestabilan negara,” katanya lagi.