
PUTRAJAYA, 20 Julai– Semua jabatan dan agensi bawah Kementerian Komunikasi disaran mengutamakan penggunaan kemudahan milik kerajaan bagi penganjuran program dan latihan.
- Manfaatkan premis IPPTAR sebagai alternatif kepada hotel untuk kurangkan kos penganjuran program.
- Kementerian Kewangan menasihatkan kementerian utamakan inisiatif yang mengurangkan perbelanjaan.
- IPPTAR mendapat perhatian banyak kementerian dan peranannya perlu diperkukuh.
- Semua aset kerajaan perlu dimanfaatkan optimum untuk mengurus perbelanjaan awam dengan lebih berhemah susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, premis Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) antara yang boleh dimanfaatkan berbanding hotel atau premis luar yang melibatkan kos lebih tinggi.
“Pihak IPPTAR memaklumkan sejak kebelakangan ini, Kementerian Kewangan meminta kementerian mengutamakan program dan inisiatif yang dapat mengurangkan sedikit perbelanjaan.
IPPTAR telah mendapat perhatian daripada banyak kementerian dan agensi dan kita lihat fungsinya boleh diperkukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini.
Menurut Datuk Seri Fahmi, pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik berterusan di Asia Barat.
Beliau menjelaskan, setiap aset kerajaan perlu dimanfaatkan secara optimum bagi memastikan perbelanjaan dapat diurus dengan lebih berhemah dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.