Rapatkan jurang demografi media, antara langkah tangani limpahan maklumat masa kini

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil / Foto Facebook Kementerian Komunikasi

PUTRAJAYA, 20 Julai – Kementerian Komunikasi kekal komited untuk terus menyebarkan maklumat yang sahih melalui media tradisional selain, berusaha merapatkan jurang demografi media yang semakin ketara sebagai usaha menangani limpahan maklumat masa kini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Generasi muda utamakan aplikasi seperti WhatsApp, Facebook dan TikTok sebagai sumber maklumat pertama.
  • Tahap kebolehpercayaan platform sosial rendah kira-kira 46 hingga 47 peratus, menuntut usaha tingkatkan ketulenan maklumat.
  • Media legasi mempunyai tahap kepercayaan tinggi dan perlu diperkasakan serta gunakan media sosial untuk rapatkan jurang demografi.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan, kira-kira 86 hingga 87 peratus golongan muda yang berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun, menjadikan aplikasi WhatsApp sebagai sumber maklumat pertama, diikuti Facebook dan Tiktok.

Jelas beliau, dapatan hasil kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bagaimanapun mendapati tahap kebolehpercayaan responden terhadap platform berkenaan hanya sekitar 46 hingga 47 peratus.

“Manakala sumber media legasi seperti surat khabar, televisyen dan radio, tahap kepercayaan mereka sangat tinggi. Mereka jarang membaca surat khabar tetapi sekiranya mereka membacanya, mereka sangat mempercayainya.

“Kita perlu merapatkan jurang demografi sekiranya generasi baharu seperti generasi Z dan Alpha mula melihat ada jurang antara saluran media rasmi iaitu media legasi dan media sosial, kementerian perlu ikhtiarkan cara termasuk media legasi perlu berperanan besar dalam penggunaan media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.