TPM Thailand tiba di Malaysia untuk lawatan kerja

Sihasak Phuangketkeow (kiri) tiba di Malaysia untuk memulakan lawatan kerja dua hari

SEPANG, 6 September – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow tiba di Malaysia hari ini bagi lawatan kerja selama dua hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan untuk membincangkan usaha memperkukuh keselamatan di selatan Thailand dan isu dua hala.
  • Thailand menghormati peranan Malaysia sebagai fasilitator rundingan bagi membantu mewujudkan keamanan di selatan Thailand.
  • Lawatan sebahagian pertukaran lawatan peringkat tinggi berkala, mencerminkan hubungan erat, berkekalan dan pelbagai dimensi antara jiran dan ASEAN.
  • Perdagangan dua hala kukuh: 2025 RM118.57 bilion; Januari hingga Julai 2026 RM85.01 bilion, menunjukkan pertumbuhan dan potensi ekonomi.

Pesawat komersial yang membawa Sihasak bersama delegasi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.30 malam.

Ketibaan Sihasak, yang diiringi para pegawai kanan Kerajaan Thailand, disambut oleh Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli.

Pada Sabtu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Sihasak pada Isnin bagi membincangkan usaha memperkukuh keselamatan di selatan Thailand, selain isu-isu dua hala antara kedua-dua negara.

Menurut Datuk Seri Mohamad Hasan, Thailand memberi penghormatan kepada Malaysia untuk berperanan sebagai fasilitator dalam rundingan dengan pihak-pihak berkaitan bagi membantu mewujudkan keamanan di rantau berkenaan.

Pertemuan itu turut membincangkan pendekatan terbaik bagi memastikan usaha mempromosikan keselamatan dan keamanan di selatan Thailand dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Terdahulu Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan itu merupakan sebahagian daripada pertukaran lawatan peringkat tinggi secara berkala antara Malaysia dan Thailand, selain mencerminkan hubungan erat, berkekalan dan pelbagai dimensi antara kedua-dua negara jiran serta negara anggota ASEAN.

Lawatan itu juga mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk mengekalkan rundingan rapat dan memajukan kerjasama yang saling menguntungkan dalam pelbagai bidang.

Pada 2025, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM118.57 bilion (AS$27.73 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencapai RM85.01 bilion (AS$21.13 bilion), berbanding RM66.95 bilion (AS$16.64 bilion) dalam tempoh sama pada 2025, mencerminkan pertumbuhan berterusan yang kukuh serta potensi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.