KPKM mohon peruntukan tambahan hadapi risiko sektor agromakanan

Foto BERNAMA

SERDANG, 7 September – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memohon peruntukan tambahan bagi menghadapi keperluan luar jangka serta pelbagai risiko yang boleh menjejaskan bekalan makanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persediaan menghadapi El Nino termasuk langkah awal bagi cuaca panas melampau yang boleh menjejaskan tanaman dan sektor perikanan.
  • Risiko kenaikan mendadak harga baja dan input pertanian boleh meningkatkan kos operasi pengusaha; kerajaan perlu persediaan kewangan untuk bantuan.
  • Jumlah peruntukan tambahan belum ditetapkan; pegawai kementerian dan Kementerian Kewangan akan menilai tuntutan berdasarkan keperluan.
  • MAHA 2026 melebihi sasaran pengunjung, jualan dan MOU; penyertaan belia tinggi dan penglibatan antarabangsa kukuhkan jaringan agromakanan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara perkara yang diberi perhatian ialah persediaan menghadapi fenomena El Nino, termasuk kemungkinan cuaca panas melampau yang boleh menjejaskan tanaman dan sektor perikanan.

Beliau berkata, peruntukan tambahan itu penting bagi membolehkan kerajaan menyediakan bantuan kepada pengusaha sekiranya berlaku keadaan yang menjejaskan aktiviti pengeluaran makanan.

“Misalnya, kita nak hadapi El Nino tahun depan. Jadi, Datuk KSU telah menyediakan apa yang kita perlu, langkah-langkah awal, terutama sekali kalau cuaca terlalu panas, apa yang akan terlibat.

“Ikan-ikan kemungkinan akan mati dan sebagainya. Jadi, kita perlu menyediakan bantuan-bantuan itu kepada pengusaha,” katanya pada sidang media semalam.

Menurut beliau, selain faktor cuaca, KPKM turut mengambil kira risiko kenaikan mendadak harga baja dan input pertanian yang boleh meningkatkan kos operasi pengusaha.

Sehubungan itu, kerajaan perlu mempunyai persediaan kewangan yang mencukupi bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada pengusaha sekiranya diperlukan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Mohamad berkata jumlah sebenar peruntukan tambahan yang diperlukan masih belum ditetapkan.

Katanya, permohonan itu perlu diteliti pegawai kementerian dan Kementerian Kewangan bagi memastikan jumlah yang dimohon adalah munasabah berdasarkan keperluan semasa.

“Itu bergantung pada keperluan semasa, bukan bila kita memohon peruntukan tambahan. Pegawai-pegawai kementerian akan meneliti terlebih dahulu sama ada jumlah tambahan yang dimohon itu munasabah,” katanya.

Beliau berkata, permohonan peruntukan tambahan itu merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk memastikan sektor agromakanan negara terus berdaya tahan, khususnya dalam menghadapi risiko yang sukar dijangka.

Dalam pada itu, penganjuran Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition (MAHA) 2026 yang berlangsung selama 10 hari melabuhkan tirai malam tadi dengan jumlah pengunjung dijangka mencecah lima juta orang.

Terdahulu, Datuk Seri Mohamad berkata sehingga pukul 10 malam semalam, MAHA merekodkan 4.3 juta pengunjung, mengatasi sasaran awal sekitar empat juta orang.

Jumlah kenderaan yang direkodkan pula mencecah 854,000, manakala nilai jualan setakat ini melebihi sasaran RM58 juta kepada lebih RM60.6 juta.

Nilai pelaburan dan memorandum persefahaman (MOU) turut melepasi sasaran apabila mencecah RM10.3 bilion berbanding sasaran RM8 bilion.

MAHA 2026 turut menyaksikan penyertaan lebih 1.7 juta belia serta penglibatan 14 negara antarabangsa, sekali gus memperkukuh jaringan perniagaan dan kerjasama dalam sektor agromakanan.

Penganjuran kali ini juga memperlihatkan peningkatan penyertaan anak muda dalam bidang pertanian secara langsung, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.