
SHAH ALAM, 10 September- Kesilapan masa lalu bukan penghalang untuk seseorang membina kehidupan yang lebih baik, sebaliknya peluang kedua perlu dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
- Baginda menasihat agar menjaga pekerti, rendah diri, pelihara nama baik keluarga, dan elak terpedaya tawaran yang memesongkan, termasuk politik.
- Pengampunan memberi peluang membina kehidupan baharu; baginda titah manfaatkan peluang kedua dengan penuh tanggungjawab.
- Kejayaan Dr Malik raih PhD semasa detensi diiktiraf MBR dan OUM, dijadikan inspirasi kepada usaha bangkit.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan melancarkan buku ‘PhD Dari Penjara’ karya Dr Malik Yatam di Pustaka Raja Tun Uda, di sini, hari ini.
Baginda menzahirkan rasa syukur dan sukacita atas kejayaan Dr Malik menerbitkan buku yang merakamkan perjalanan hidupnya sebelum, semasa dan selepas menjalani hukuman penjara.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa sukacita kerana keputusan memberikan pengampunan dan membebaskan Dr Malik selepas mempertimbangkan segala faktor dengan sebaik-baiknya, ternyata memberi peluang kepadanya untuk membina kehidupan baharu.
“Beta berharap penerbitan buku ini menjadi permulaan kepada lembaran kehidupan yang lebih baik dan bermakna.
“Buktikanlah bahawa pengampunan serta peluang kedua yang diberikan telah dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga berharap perjalanan hidup Dr Malik menjadi teladan dan sumber inspirasi kepada mereka yang sedang berusaha bangkit serta membina semula kehidupan.
“Tumpukanlah usaha kepada ilmu, keluarga dan khidmat kepada masyarakat,” titah baginda.

Turut berangkat pada majlis pelancaran naskah itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Presiden/Naib Canselor Open University Malaysia (OUM), Prof Datuk Dr Ahmad Izanee Awang dan penulis buku PhD dari Penjara, Dr Malik.
Pada majlis itu, Dr Malik turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai “Banduan Pertama Malaysia Meraih Ijazah PhD dari Penjara”, manakala OUM mendapat anugerah “Universiti Pertama Melahirkan Graduan Ijazah Phd dari Penjara.”
Sebelum ini, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Dr Malik pada Februari lepas dan pertemuan seumpama itu, kali pertama diadakan membabitkan Sultan Sharafuddin bersama dengan bekas banduan yang mendapat pengampunan sempena Hari Keputeraan baginda pada 2024.
Selepas 24 tahun menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) iaitu hukuman yang tidak ada tarikh bebas, tidak dijatuhkan hukuman mati kerana semasa kesalahan dilakukan banduan berkenaan berumur di bawah 18 tahun, akhirnya, Dr Malik, 39, dibebaskan pada 11 Disember 2024.
Menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun, Dr Malik berjaya memperoleh PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada OUM, hasil usaha melanjutkan pelajaran semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang.