Tiada pemimpin kanan UMNO dalam senarai SPRM untuk ditahan – Abd Halim

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 September – Tiada pemimpin kanan UMNO disenaraikan untuk ditahan selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU), kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM tidak mempunyai siasatan atau tindakan penahanan terhadap pemimpin UMNO seperti didakwa.
  • Abdul Halim tidak pasti sumber berita dan tegaskan masyarakat sering percaya andaian tanpa bukti.
  • SPRM nasihatkan dapatkan pengesahan pihak berkuasa sebelum mempercayai atau menyebarkan maklumat dakwaan.
  • UMNO akan bekerjasama dengan SPRM jika terdapat bukti kukuh, tetapi siasatan perlu adil dan telus.

Beliau menegaskan, SPRM juga tidak mempunyai sebarang siasatan atau tindakan penahanan terhadap pemimpin parti itu seperti yang didakwa pihak tertentu sebelum ini.

“Tidak ada. Saya pun tidak pasti daripada mana berita itu boleh sampai.

“Kadang-kadang masyarakat kita lebih mempercayai andaian tanpa sebarang bukti atau punca berita yang tepat. Jadi, jawapan saya, setakat yang saya tahu dan bagi pihak SPRM, tidak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Datuk Seri Abdul Halim turut menasihatkan mana-mana pihak yang menerima maklumat mengenai dakwaan sedemikian supaya mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

“Saya harap kalau ada pihak-pihak yang mendengar sesuatu, dapatkan bukti yang sahih daripada pihak yang berwajib. Kalau dikatakan membabitkan SPRM, datang kepada kami dan kami akan cuba membantu memberikan butiran, sekiranya maklumat itu tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

UMNO sebelum ini menegaskan tidak akan menghalang tindakan SPRM sekiranya terdapat bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pemimpin parti yang didapati terbabit dalam salah laku.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM bagi membolehkan proses pendakwaan dijalankan sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat asas kukuh untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang siasatan, termasuk yang membabitkan pemimpin kanan parti, perlu dilaksanakan secara adil dan telus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.