Kes gangguan seksual catat peningkatan membimbangkan pada 2025

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kes gangguan seksual menunjukkan trend peningkatan membimbangkan apabila sebanyak 1,038 kes direkodkan pada 2025, berbanding 788 kes pada 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan kes gangguan seksual menunjukkan isu semakin serius dan memerlukan tindakan tegas serta kerjasama semua pihak.
  • Kerajaan menggubal Akta Antigangguan Seksual 2022 bagi langkah pencegahan, tatacara tindakan dan perlindungan menyeluruh kepada mangsa.
  • Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) memudahkan penyelesaian aduan; 69 daripada 92 aduan berjaya diselesaikan sehingga 26 April 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merekodkan 522 kes pada 2023 dan 477 kes pada 2022.

Menurut beliau, peningkatan berterusan itu menggambarkan isu gangguan seksual semakin serius serta memerlukan tindakan tegas semua pihak.

“Peningkatan laporan ini turut mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin berani tampil ke hadapan untuk melaporkan kes kepada pihak berkuasa serta menuntut hak mereka.

“Perkembangan ini menunjukkan perubahan positif dalam sikap masyarakat yang semakin menolak normalisasi gangguan seksual serta lebih peka terhadap kepentingan melaporkan sebarang bentuk salah laku demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua,” katanya ketika berucap pada Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harrasment di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Datuk Seri Nancy berkata, pelbagai langkah telah dilaksanakan kerajaan bagi menangani isu tersebut termasuk menggubal Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840].

Jelas beliau, pelaksanaan akta itu diperkukuh melalui garis panduan komprehensif yang merangkumi aspek pencegahan, tatacara tindakan serta perlindungan menyeluruh kepada mangsa bagi memastikan isu gangguan seksual ditangani secara lebih sistematik, berkesan dan bersepadu.

“Penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) pula berperanan sebagai platform alternatif bagi menyelesaikan aduan kes gangguan seksual dengan lebih cepat, mudah dan pada kos berpatutan untuk mangsa menuntut hak mereka.

“Berdasarkan laporan TAGS, sehingga 26 April 2026, sebanyak 92 aduan telah difailkan, dengan 69 daripadanya berjaya diselesaikan. Pencapaian ini membuktikan tribunal ini berkesan dalam mempercepatkan proses penyampaian keadilan kepada mangsa,” katanya.

Tambahnya, pendidikan awal serta advokasi berkaitan hak dan perlindungan mangsa perlu terus diperkasakan bagi membentuk budaya sifar toleransi terhadap gangguan seksual dalam masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.