
TAIPING, 19 Mei – Pemantauan projek pembangunan infra rakyat terus diperkukuh, bertujuan memastikan pelaksanaan lancar, menepati jadual serta mengurangkan projek sakit di seluruh negara.
- Isu kontraktor masih menjadi faktor utama kelewatan projek pembangunan.
- Kontraktor bermasalah akan dimasukkan dalam pangkalan data untuk mengelak lantikan semula.
- Trend projek sakit menurun hasil pemantauan rapi dan tindakan awal kementerian serta Jabatan Kerja Raya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan, isu berkaitan kontraktor masih menjadi faktor utama kelewatan.
“Sehubungan itu, kontraktor yang bermasalah bakal dimasukkan dalam pangkalan data bagi mengelak lantikan semula pada masa hadapan.
“Dalam masa sama, isu pengambilan tanah, pengalihan utiliti serta faktor cuaca dan bencana alam turut mempengaruhi pelaksanaan projek kerajaan.
“Bagaimanapun, trend projek sakit menunjukkan penurunan daripada 6.81 peratus pada Jun 2025, kepada 5.17 peratus ketika ini, hasil pemantauan rapi dan tindakan awal pihak kementerian serta Jabatan Kerja Raya, (JKR),”katanya selepas mengadakan Lawatan dan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat di Bangunan Stor Farmasi Logistik dan Farmasi Steril Hospital Taiping.
Sehingga 28 April lepas, 2,497 projek fizikal pembinaan bernilai RM133.9 bilion diamanahkan kepada JKR, sebagai agensi teknikal negara.
Daripada jumlah itu, 851 projek kini berada dalam fasa pembinaan melibatkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.