fb fb fb fb fb

Kerjasama serantau kunci utama tangani ancaman keselamatan ASEAN

Mohamed Khaled bergambar bersama Menteri Pertahanan negara ASEAN (ADMM) di Batu Feringghi / Foto BERNAMA

BATU FERINGGHI, 26 Februari – Kerjasama serantau yang kukuh merupakan kunci utama dalam menghadapi ancaman keselamatan di ASEAN.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa pendekatan secara bersama perlu dalam kalangan negara-negara ASEAN, khususnya bagi mencapai kesepakatan dalam membuat pelbagai keputusan.

Menurutnya, sama ada ancaman tradisional mahupun bukan tradisional, kedua-duanya memerlukan pendekatan bersama dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Jelasnya, ASEAN memainkan peranan penting dalam menangani ancaman keselamatan bukan tradisional seperti ancaman siber, keganasan, dan kemusnahan alam sekitar.

Pendekatan ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti kolektif dalam menghadapi pelbagai isu keselamatan secara proaktif.

"Dalam era di mana cabaran keselamatan semakin kompleks dan merentasi sempadan negara, perpaduan ASEAN dan kerjasama serantau yang teguh adalah lebih penting berbanding sebelum ini.

"Rantau ini menghadapi kedua-dua ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang tidak boleh diatasi oleh satu negara sahaja. Adalah penting untuk kita mempertingkatkan kapasiti kolektif agar dapat bertindak balas secara berkesan dan proaktif terhadap cabaran ini," katanya pada sesi pembukaan Mesyuarat Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Retreat, di sini sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia.

Tambahnya, pertahanan biosekuriti juga perlu diperkukuh, terutama dalam menghadapi ancaman pandemik dan penyakit berjangkit. Susulan pandemik COVID-19, jelas terbukti bahawa risiko kesihatan turut memberi impak terhadap keselamatan dan kestabilan rantau ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD