fb fb fb fb fb

Kerani rugi lebih RM200,000 terpedaya sindiket penipuan pelaburan

Foto Hiasan

SEGAMAT, 3 Jun- Seorang kerani berusia 30-an mengalami kerugian lebih RM200,000 selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Laporan polis telah dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah memaklumkan, mangsa ditawarkan pelaburan bitcoin dan pertukaran mata wang asing, selepas nombor telefon dimasukkan dalam kumpulan telegram sindiket.

"Mangsa dijanjikan pulangan berlipat ganda dan mangsa melakukan transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank, bermula awal bulan lepas hingga 1 Jun.

"Transaksi tersebut kononnya, bertujuan untuk proses pembayaran cukai, dan pendaftaran pelaburan," katanya.

Menurut Ahmad Zamry , mangsa menyedari telah diperdaya, selepas sindiket terus meminta bayaran walaupun belum menerima pulangan, seperti dijanjikan.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI