Kerajaan terus perkasa institusi pondok, pilih beberapa sekolah sebagai model – PM

Datuk Seri Anwar / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 19 September – Kerajaan akan terus memperkasa institusi pondok dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan, disiplin ilmu dan penyesuaian kurikulum bagi memenuhi tuntutan semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memilih beberapa pondok sebagai contoh untuk membangunkan tradisi ilmu yang lebih tersusun tanpa mengabaikan asas pendidikan Islam.
  • Pendidikan pondok perlu pendedahan dan latihan AI berlandaskan etika dan akhlak untuk mengurus faedah serta mengurangkan risiko.
  • Pemerkasaan tidak mensyaratkan semua menjadi ulama; sediakan laluan ke universiti, TVET, dan hidupkan kembali pengajian karya turath.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu termasuk memilih beberapa sekolah pondok untuk dijadikan contoh dalam membangunkan tradisi ilmu yang lebih tersusun, tanpa mengabaikan asas pendidikan Islam dan warisan ilmu turath.

“Yang saya kata boleh ialah bantuan segera untuk memilih beberapa pondok sebagai contoh, bila kita bawa ke kursusan, dalam bidang yang dikatakan, supaya madrasah ini, atau pondok…menjadi satu sistem yang cukup mantap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan 2026 di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata, pendidikan pondok juga perlu memberi pendedahan kepada kecerdasan buatan (AI), memandangkan teknologi berkenaan mempunyai manfaat selain risiko sekiranya tidak berlandaskan etika dan akhlak.

“AI itu bahaya besar bagi umat…jadi mesti latih juga anak-anak di pondok untuk menguasai,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata pemerkasaan sekolah pondok tidak bermakna semua pelajarnya perlu menjadi ulama atau melanjutkan pengajian ke universiti.

Beliau berkata, sebaliknya pelajar perlu mempunyai asas ilmu agama yang kukuh sebelum memilih bidang masing-masing termasuk kejuruteraan, penerbangan atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Sebahagian institusi pondok perlu mempunyai laluan ke universiti bagi membolehkan lulusan pendidikan berteraskan tradisi ilmu Islam turut menyumbang kepada sistem pendidikan awam,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh pendidikan pondok juga perlu menghidupkan kembali pengajian karya-karya turath sebagai asas penting dalam pembentukan pemikiran Islam.

Tambah beliau, kerajaan bersedia meningkatkan bantuan kepada institusi pondok, termasuk melalui peruntukan yang telah disediakan, dengan penambahbaikan dilaksanakan secara berperingkat bersama ulama dan pengurusan institusi berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.