fb fb fb fb fb

Kerajaan sasar pembangunan infrastruktur 5G di luar bandar

Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi khususnya liputan rangkaian 5G di kawasan luar bandar / Foto Hiasan / Bernama

BANGI, 4 November - Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi khususnya liputan rangkaian 5G di kawasan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Digital untuk mencari pendekatan terbaik bagi memastikan kawasan yang tidak berpenduduk tinggi juga mendapat liputan sistem 5G.

Beliau yang juga Menteri KKDW menekankan bahawa inisiatif itu penting terutamanya bagi keperluan pelajar dan murid sekolah.

"Kita sedang dalam usaha untuk mewujudkan saluran kedua 5G agar kawasan di luar bandar dapat liputan, terutama bagi keperluan para pelajar dan murid sekolah.

"Kemudahan ini juga penting untuk para usahawan yang memulakan perniagaan dalam talian yang sangat memerlukan liputan komunikasi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani 2024, di sini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN