PUTRAJAYA, 16 Mei - Sebanyak RM120,000 diperuntukkan bagi pembangunan program Tuition Mission Putrajaya (TMP) 2025, bagi membiayai keseluruhan kos program termasuk penyediaan modul, seminar motivasi dan pemantauan program.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, menyifatkan peruntukan tersebut sebagai pelaburan jangka panjang kerajaan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan mendapat akses pendidikan dan bimbingan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jelasnya, program tuisyen percuma seumpama ini disasar akan diperluas pelaksanaannya di Kuala Lumpur dan Labuan.
''Program ini telah dilaksanakan di Putrajaya selama empat tahun berturut-turut dan melibatkan sekitar 100 orang pelajar setiap tahun daripada golongan mereka yang kurang berkemampuan dan B40. Alhamdulillah, kita telah mencatatkan kejayaan daripada program ini yang kita lakukan bawah Program Usaha Jaya Insan iaitu Ilmu PUJI dan kita telah melihat kejayaan itu sehingga melahirkan pelajar-pelajar cemerlang.
''Di Kuala Lumpur kita ada bekerjasama juga dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), contohnya dalam membantu pelajar-pelajar ini. Jadi, ini kita akan perkembangkan lagi dan melihat dimanakah yang kita boleh bantu pelajar-pelajar kita di ketiga-tiga wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga di Labuan,''katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Program Tuition Mission Putrajaya (TMP) 2025, di Putrajaya.
TMP merupakan program tahunan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dan disenaraikan bawah Program Usaha Jaya Insan (PUJI) dalam komponen ILMU@ PUJI yang diperkenalkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
Program tuisyen percuma ini menyediakan kelas tambahan untuk empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah bagi pelajar yang bakal menduduki SPM.
Datuk Seri Dr. Zaliha berpandangan TMP juga berupaya merapatkan jurang pendidikan dan merupakan sebahagian program intervensi bagi mengurangkan peratusan pelajar tercicir.
Jelasnya, kesenjangan antara pelajar sekolah yang berpeluang mendapatkan akses pendidikan dan pelajar tercicir semakin meluas, khususnya dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar.
Beliau berkata antara petunjuk membimbangkan ialah lebih 10,000 pelajar tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2023, dan sebahagian besarnya berpunca daripada tekanan ekonomi keluarga.
''Sepatutnya anak-anak ini adalah menumpukan sepenuh masa mereka untuk belajar ataupun untuk meningkatkan pembelajaran mereka. Tetapi disebabkan tekanan daripada sudut ekonomi keluarga, maka mereka mungkin dengan rela hati nak membantu keluarga dan itu menyebabkan mereka kurang berpeluang. Sebab apabila keluar bekerja sudah tentunya tercicir belajar dan akhirnya daripada sudut prestasi mereka terjejas.
''Jadi inilah yang sebenarnya kita berusaha untuk dalam program-program PUJI kita untuk merapatkan lagi jurang ini dan menambahkan lagi jumlah mereka-mereka yang sebenarnya bukan mereka tidak mampu untuk belajar menjadi seorang yang pandai tapi peluang itu kurang,''katanya.
Pada tahun ini, seramai 100 orang pelajar daripada sembilan buah sekolah menengah di Putrajaya telah terpilih sebagai peserta Program TMP 2025. Barisan tenaga pengajar dan guru pembimbing terdiri daripada 20 orang guru yang berpengalaman luas dalam memberikan bimbingan kepada pelajar yang akan menduduki SPM.
Kelas TMP dilaksana secara fizikal bermula pada 20 Mei hingga 11 September 2025 di Kompleks Kejiranan Presint 16, pada setiap hari Selasa dan Khamis dan dibuat secara bergilir mengikut subjek.