Kerajaan pergiat sokongan PMKS hadapi tekanan krisis global

Sektor PMKS antara paling terjejas susulan krisis global – BERNAMA

SHAH ALAM, 5 Mei – Kerajaan mempergiat pelbagai langkah sokongan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat krisis bekalan global ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MTEN memutuskan penstrukturan semula pembayaran pinjaman untuk menstabilkan aliran tunai usahawan PMKS.
  • Semua agensi diminta bertindak proaktif menyediakan intervensi sesuai kepada usahawan dan koperasi.
  • Suruhanjaya Koperasi Malaysia menggerakkan pasukan menilai impak terhadap koperasi, laporan dijangka dalam masa terdekat.
  • Moratorium enam bulan dan kemudahan pinjaman baharu disediakan bagi meringankan usahawan terjejas, termasuk mangsa kebakaran Kampung Bahagia.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohammad Alamin berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) telah memutuskan beberapa pendekatan penting termasuk penstrukturan semula pembayaran pinjaman bagi memastikan aliran tunai usahawan kekal stabil.

Beliau berkata, usaha berkenaan turut melibatkan semua agensi berkaitan yang diminta mengambil tindakan proaktif dalam menyediakan intervensi bersesuaian kepada usahawan dan koperasi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohammad Alamin – RTM

“Kita akan terus melaksanakan langkah bagi meringankan beban usahawan PMKS.

“Semua agensi telah diminta melihat keperluan di peringkat akar umbi dan menyediakan bantuan yang bersesuaian, termasuk kepada koperasi yang terlibat dalam aktiviti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Kerjaya dan Keusahawanan Pelajar Pembiayiaan Pendidikan Yayasan Angkasa sesi 2026, di sini pada Isnin.

Menurutnya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga akan menggerakkan pasukan bagi mengenal pasti tahap impak terhadap koperasi, dengan laporan dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

Sementara itu beliau juga memaklumkan pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi meringankan penduduk terjejas dalam kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan Sabah khususnya dalam kalangan usahawan.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi meringankan penduduk terjejas kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah – BERNAMA

Beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk menyediakan kemudahan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan kepada usahawan yang terjejas.

“Selain moratorium bagi pinjaman sedia ada, mereka yang terjejas juga boleh memohon pinjaman baharu untuk memulakan kembali perniagaan,” katanya.

Pada awal April lalu, kebakaran besar berlaku di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan melibatkan kira-kira 1,000 rumah dengan hampir 10,000 isi rumah terkesan.