Krisis bekalan global dijangka berlarutan hingga 2027

Ketua Sekretariat Pasukan Petugas Pengurusan Krisis, Majlis Tindakan Ekonomi Negara
Penasihat Ekonomi, Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein (kanan) menjadi tetamu program Bicara Naratif – RTM

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Krisis bekalan global dijangka berterusan sehingga tahun depan dengan tekanan kos yang semakin ketara terhadap sektor strategik negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Krisis bekalan memerlukan langkah ketahanan ekonomi menyeluruh untuk memastikan kestabilan bekalan dan pertumbuhan ekonomi.
  • Negara menghadapi dua gelombang: kenaikan harga bahan api serta peningkatan kos bahan import menjejaskan pembinaan, pelancongan dan pembuatan.
  • Ketegangan geopolitik dan gangguan pengeluaran minyak melambatkan pemulihan rantaian bekalan, tetapi Malaysia lebih selesa kerana sumber tenaga dan jaringan perdagangan.

Keadaan itu menuntut langkah ketahanan ekonomi yang lebih menyeluruh bagi memastikan kestabilan bekalan dan pertumbuhan ekonomi terus terpelihara.

Ketua Sekretariat Pasukan Petugas Pengurusan Krisis, Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Nurhisham Hussein berkata, negara kini berdepan dua gelombang utama iaitu kenaikan harga bahan api serta peningkatan kos bahan input.

Beliau berkata, gelombang pertama melibatkan kenaikan harga bahan api, manakala gelombang kedua menyaksikan peningkatan harga bahan import yang memberi kesan kepada sektor utama seperti pembinaan, pelancongan dan pembuatan.

Nurhisham yang juga Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, menjelaskan ketegangan geopolitik serta gangguan pengeluaran minyak dunia terus menjadi faktor utama memperlahankan pemulihan rantaian bekalan global. – RTM

“Kesan ini tidak sekata kerana masih terdapat sektor yang kekal kukuh, namun secara keseluruhan impaknya dijangka berlarutan sehingga tahun depan, termasuk risiko kekurangan baja yang boleh menjejaskan hasil pertanian global,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Bicara Naratif di Angkasapuri Kota Media.

Mengulas lanjut, Nurhisham yang juga Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, menjelaskan ketegangan geopolitik serta gangguan pengeluaran minyak dunia terus menjadi faktor utama yang memperlahankan pemulihan rantaian bekalan global.

“Krisis antara Iran dan Amerika Syarikat masih berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh, manakala banyak telaga minyak masih ditutup dan proses untuk mengaktifkannya semula mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.

“Dalam masa sama, walaupun Malaysia terdedah kepada import, kita mempunyai kelebihan sebagai negara pengeksport serta hubungan perdagangan yang membolehkan kita berdagang secara terus atau bertukar barangan bagi memastikan bekalan kekal mencukupi,” jelasnya.

Nurhisham Hussein – RTM

Menurutnya, kerajaan turut memberi keutamaan kepada jaminan bekalan asas negara seperti bahan api, makanan dan perubatan bagi mengurangkan impak krisis.

Beliau menambah, Malaysia berada pada kedudukan lebih baik berbanding beberapa negara serantau kerana mempunyai sumber minyak dan gas sendiri serta jaringan perdagangan yang kukuh.

“Ini bukan krisis yang mudah, namun kita mempunyai perancangan untuk menguruskannya sekiranya berlarutan dan ia masih dalam keadaan terkawal,” katanya.