Kerajaan MADANI semarak agenda perkasa usahawan bumiputera, sasar pelaburan GLIC RM2 bilion

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 16 April -Kerajaan MADANI kekal beriltizam, mendukung dan menyemarak agenda memperkasakan usahawan bumiputera sebagai wahana yang berdaya hasil dan berteraskan pencapaian yang membanggakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasar pelaburan GLIC meningkat kepada RM2 bilion bagi memperkukuh modal dan daya saing usahawan bumiputera.
  • Jadikan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu dan lahirkan Jaguh Bumiputera bernilai RM500 juta dalam tempoh lima tahun.
  • Perluaskan akses pembiayaan, perolehan kerajaan dan peluang komersial untuk membina legasi keusahawanan yang inklusif dan mampan.
  • Pendekatan menyeluruh sokong perusahaan sedia ada serta galakkan penyertaan dalam sektor pertumbuhan seperti kecerdasan buatan dan teknologi tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, melalui pengukuhan Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC), kerajaan menetapkan sasaran yang lebih berani – meningkatkan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sehingga RM2 bilion.

Selain itu, katanya menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu dan membimbing melahirkan Jaguh Bumiputera yang berupaya mencapai nilai syarikat mencecah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

“Ini bukan sekadar angka tetapi lambang tekad untuk mengangkat martabat ekonomi bumiputera kepada tahap yang lebih mapan dan berdaya saing,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau.

Justeru, beliau berkata pendekatan strategik yang digerakkan harus bersifat menyeluruh daripada memperkukuh perusahaan dan syarikat sedia ada yang berdaya tahan hinggalah membuka ruang kepada penyertaan dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi tinggi.

“Kejayaan jenama seperti SERAI dan GlocAI memperlihatkan bahawa apabila ekosistem yang tepat disediakan, usahawan bumiputera mampu berdiri setara, malah unggul dalam landskap ekonomi moden,” kata beliau.

Pada masa yang sama, Datuk Seri Anwar berkata akses kepada pembiayaan, perolehan kerajaan dan peluang komersial terus diperluas sebagaimana yang dinikmati oleh syarikat seperti Bateriku, Hanan Medicare, Bluesify, Pak Tam dan Meraque yang menjadi bukti bahawa tata laksana yang inklusif mampu melahirkan legasi keusahawanan yang mampan.

Beliau berkata kerajaan mendengar, menilai dan akan terus memperhalusi pendekatan sedia ada supaya setiap dasar yang digerakkan benar-benar mencerminkan realiti di lapangan.

“Walhasil, dengan iltizam kolektif serta kepemimpinan yang berprinsip, kita yakin bahawa agenda keusahawanan bumiputera akan terus berkembang, bukan sahaja sebagai tonggak ekonomi negara, malah sebagai manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras kepada gagasan yang MADANI,” kata beliau.