PM Australia berlepas pulang, Malaysia perkukuh hubungan strategik sektor tenaga

Foto BERNAMA

SUBANG, 16 April– Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berlepas pulang malam ini selepas menyempurnakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua negara menegaskan komitmen terhadap keterjaminan makanan dan tenaga di peringkat serantau.
  • Perkukuh kerjasama dalam pemprosesan dan perdagangan daging merah susulan konflik global dan gangguan rantaian bekalan.
  • Perbincangan bersama Petronas untuk memacu kerjasama tenaga, khususnya dalam segmen gas asli cecair LNG.

Pesawat khas yang membawa beliau bersama delegasi berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tepat pada pukul 8.30 malam, diiringi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup

Sebelum berlepas, Albanese turut memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD), di bawah pimpinan Kapten Muhammad Nafis Norshid.

Terdahulu, dalam pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua negara menegaskan semula komitmen untuk menjamin keterjaminan makanan dan tenaga di peringkat serantau.

Selain itu, Malaysia dan Australia turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor utama, termasuk pemprosesan dan perdagangan daging merah, susulan konflik global dan gangguan rantaian bekalan yang masih berterusan.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut mengadakan perbincangan bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi memacu kerjasama tenaga, khususnya dalam segmen gas asli cecair (LNG) antara kedua-dua negara.