
KUALA LUMPUR, 16 April – Tokong, vihara dan pusat Buddha yang berdaftar akan menerima bantuan wang tunai sebanyak RM 2,000 menerusi program Sambutan Wesak Akar Umbi.
- Kerajaan peruntuk RM2 juta, mensasarkan 1,000 organisasi Buddha di seluruh negara untuk program sambutan.
- Pendaftaran dibuka melalui laman rasmi Malaysian Buddhist Consultative Committee di www.mbcc.org.my.
- Persidangan Kebangsaan Prinsip Buddha dan Amalan MADANI diadakan 23 Mei 2026, dirasmikan Perdana Menteri untuk merapatkan pemahaman.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, program tersebut menyasarkan 1,000 organisasi dari seluruh Malaysia
“Setiap organisasi Buddha yang diluluskan akan menerima sokongan sebanyak RM2,000 daripada Kerajaan Persekutuan dengan sasaran sehingga 1,000 organisasi pada tahun pertama pelaksanaan program ini.
“Ini bermakna komitmen keseluruhan yang disediakan ialah sebanyak RM2 juta. Program ini terbuka kepada tokong Buddha, vihara dan pusat-pusat di seluruh negara dan pendaftaran telah pun dibuka”, katanya.
Semua organisasi yang terlibat digalakkan untuk mendaftar melalui laman sesawang rasmi Malaysian Buddhist Consultative Committee (MBCC) di pautan www.mbcc.org.my
Bantuan kewangan itu disalurkan sempena Sambutan Hari Wesak peringkat Kebangsaan bagi tahun 2026 sebagai sokongan kerajaan kepada komuniti Buddha untuk menganjurkan program kesejahteraan masyarakat.
Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Pertubuhan Perunding Buddhis Malaysia akan menganjurkan sambutan tersebut.
Susulan itu, dua inisiatif utama, iaitu Persidangan Kebangsaan mengenai Prinsip Buddha dan Amalan MADANI serta Program Sambutan Wesak Akar Umbi akan dilaksanakan.
“Persidangan ini merupakan kali pertama diadakan, berkonsepkan pemahaman antara ajaran agama Buddha dan konsep MADANI serta akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“Ini membawa makna besar sebagai satu pengiktirafan kepada komuniti Buddhis di seluruh negara. Penganjuran persidangan ini juga bertujuan merapatkan hubungan serta menyemai pemahaman antara konsep MADANI dengan masyarakat Malaysia” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sambutan Hari Wesak Kebangsaan di Wisma Dharma Chakra, Buddhist Vihara, Brickfields bersama Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang.
Persidangan yang dijadualkan pada 23 Mei 2026 di Menara KEN, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, akan menghimpunkan pemimpin agama, cendekiawan dan masyarakat sivil bagi membincangkan Prinsip Buddha & Amalan MADANI.