Isu teknikal punca garis masa kestabilan tren sukar dimuktamadkan – Anthony

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 April– Kementerian Pengangkutan menyifatkan penetapan garis masa khusus bagi menjamin kestabilan sepenuhnya perkhidmatan tren di bawah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebagai satu perkara yang mencabar berikutan penglibatan aspek teknikal yang kompleks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prasarana diarahkan memperkukuh langkah mitigasi dan memberi tumpuan penuh kepada penyelenggaraan bagi menambah baik kualiti perkhidmatan.
  • Gangguan teknikal kadang di luar jangkaan; isu ini dipantau rapat dan dibincang serius dalam mesyuarat pascakabinet mingguan.
  • Prasarana diarahkan mempertingkatkan protokol kawalan dan kualiti penyelenggaraan untuk memastikan perjalanan lebih selamat dan boleh dipercayai oleh pengguna.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkat meskipun tiada garis masa tetap, Prasarana telah diarahkan untuk memperkukuh langkah-langkah mitigasi serta memberi tumpuan penuh terhadap penyelenggaraan.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan kualiti perkhidmatan terus ditingkatkan.

“Sukar untuk kita menetapkan satu garis masa yang khusus kerana kita sentiasa mengharapkan tiada sebarang gangguan berlaku. Namun, kadangkala gangguan teknikal ini adalah di luar jangkaan.”

“Perkara ini amat kami ambil berat, justeru dalam setiap mesyuarat pascakabinet mingguan, isu berkaitan gangguan perkhidmatan diberi perhatian yang sangat serius. Kita sentiasa memantau rapat perkembangan ini dan menanganinya dari semasa ke semasa,” kata Anthony kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Sambutan Hari Wesak Peringkat Kebangsaan 2026 di Wisma Dharma Chakra, Buddhist Vihara, Brickfields, di sini.

Sementara itu, Anthony menegaskan bahawa Prasarana telah diarah untuk mempertingkatkan protokol kawalan dan kualiti penyelenggaraan bagi menjamin perjalanan yang lebih selamat serta boleh dipercayai oleh pengguna.