
NEW YORK, 17 April – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengalu-alukan pengumuman gencatan senjata antara Israel dan Lubnan, dan menegaskan konflik berkenaan perlu diselesaikan melalui pendekatan jangka panjang, bukan ketenteraan.
- PBB anggap perkembangan sebagai langkah penting menghentikan permusuhan dan mengurangkan penderitaan dua pihak
- PBB bersedia menyokong melalui misi politik dan pengaman serta menggesa pelaksanaan penuh Resolusi 1701
- Langkah itu dilihat penting ke arah gencatan senjata berkekalan dan penyelesaian konflik jangka panjang
- Penyelaras Khas Jeanine Hennis-Plasschaert terus menjalankan peranan diplomatik dan PBB tekankan tidak ada penyelesaian ketenteraan
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata pihaknya menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah penting untuk menghentikan permusuhan serta penderitaan di kedua-dua pihak.
Katanya, PBB kekal bersedia menyokong usaha berkenaan menerusi misi politik dan pengaman, selain terus menggesa pelaksanaan penuh Resolusi 1701 Majlis Keselamatan.
“Langkah ini penting ke arah mencapai gencatan senjata berkekalan dan penyelesaian jangka panjang konflik,” katanya.
Dalam masa sama, Penyelaras Khas PBB di Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert, terus memainkan peranan diplomatik dengan pihak terlibat.
PBB turut menegaskan bahawa konflik itu tidak mempunyai penyelesaian ketenteraan dan memerlukan usaha diplomasi berterusan. – REUTERS