Penduduk Lubnan tidak percaya Israel, tuntut pengunduran penuh

Mostafa Ibrahim Allayed bersama isterinya Farrah Ali Hijazi dan keluarga meraikan pengumuman gencatan senjata/Foto REUTERS

TYRE, 17 April – Penduduk selatan Lubnan menuntut pengunduran penuh tentera Israel walaupun gencatan senjata 10 hari antara Israel dan Lubnan mula dilaksanakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk menuntut pengunduran penuh tentera Israel supaya dapat pulang dan benar-benar berasa lega.
  • Gencatan senjata tidak memberi ketenangan selagi Israel kekal menduduki selatan Lubnan.
  • Hizbullah berkata gencatan senjata tidak harus memberi kebebasan pergerakan kepada tentera Israel.
  • Perjanjian menghendaki kerajaan Lubnan menghalang serangan Hizbullah; sejak 2 Mac, ribuan terbunuh dan 1.2 juta hilang tempat tinggal.

Mustafa Ibrahim al-Sayyed, berkata mereka masih belum dapat berasa lega selagi tentera Israel kekal di kawasan selatan.

Katanya, keutamaan penduduk adalah menghentikan perang sepenuhnya dan memastikan pengunduran Israel.

“Perkara sama pernah berlaku sebelum ini, pada 2024, apabila gencatan senjata diumumkan.

“Kami gembira, tetapi kegembiraan itu belum sepenuhnya dirasai. Untuk benar-benar berasa lega, kami mahu perang dihentikan dengan pengunduran penuh tentera Israel dari selatan Lubnan.

“Ini kerana Israel menyatakan akan terus kekal di selatan Lubnan, dan keadaan itu tidak memberi ketenangan kepada kami.

“Gencatan senjata 10 hari tidak bermakna selagi kawasan selatan masih diduduki dan kami tidak dapat pulang ke kampung halaman,” katanya kepada REUTERS.

Gencatan senjata itu dilaksanakan bagi membuka ruang kepada rundingan ke arah perjanjian keamanan jangka panjang.

Hizbullah menyatakan sebarang gencatan senjata tidak boleh memberi kebebasan pergerakan kepada tentera Israel.

Menurut perjanjian gencatan senjata, kerajaan Lubnan akan mengambil langkah bagi menghalang Hizbullah dan kumpulan bersenjata lain daripada melancarkan serangan terhadap Israel.

Sejak konflik tercetus pada 2 Mac lalu, lebih 2,100 orang dilaporkan terbunuh di Lubnan manakala lebih 1.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.— REUTERS