Kes rempuh anggota trafik: Inspektor polis diperintah jalani pemeriksaan mental

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 April– Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang terlibat dalam insiden merempuh anggota trafik dan beberapa kenderaan, diperintah Mahkamah Sesyen hari ini untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjong Rambutan, Perak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peguam memberitahu mahkamah bahawa tertuduh didiagnosis menghidap skizofrenia.
  • Keluarga tertuduh memutuskan untuk tidak mengemukakan permohonan jaminan.
  • Tertuduh terakhir bercuti sakit pada Februari; rawatan susulan dan ubat dihentikan selepas itu.
  • Pembelaan memohon pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342(1) untuk menilai kesesuaian dibicarakan.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Mazuliana Abdul Rashid selepas peguam tertuduh, G. Nanda Goban memaklumkan bahawa anak guamnya, Muhammad Kamal Raj Shanmugam Abdullah, 41 tahun menghidap skizofrenia.

Pihak pembelaan turut menyatakan bahawa keluarga tertuduh memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang permohonan jaminan.

“Berdasarkan semakan, tertuduh kali terakhir bercuti sakit pada Februari lalu. Ketika itu, keadaan beliau terkawal kerana mengikuti rawatan susulan dan mengambil ubat-ubatan, namun rawatan berkenaan terhenti selepas tempoh tersebut.

“Malah sebelum kejadian, bapa tertuduh telah membuat laporan polis untuk memohon supaya beliau dimasukkan ke hospital, namun gagal kerana tertuduh bertindak melarikan diri,” jelas peguam berkenaan.

Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon perintah mahkamah di bawah Seksyen 342(1) Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh menjalani pemeriksaan mental, memandangkan terdapat rekod kesihatan yang berkaitan.

Tegasnya, pemeriksaan tersebut penting bagi menilai tahap kesihatan mental tertuduh serta menentukan sama ada beliau layak untuk dibicarakan di mahkamah.