
PADANG BESAR, 16 April -Sebanyak 143 saman dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 380 kenderaan asing menerusi Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) di sini.
- Kutipan RM24,960 berjaya dikumpul dalam tiga hari pelaksanaan operasi.
- Operasi melibatkan 25 pegawai dan anggota dari IPD Padang Besar dan IPK Perlis, sasar warga asing dengan saman tertunggak.
- Kesalahan tertinggi adalah tiada lesen memandu, tidak patuh syarat permit dan memandu melebihi had laju.
- Kes tertinggi: seorang penunggang motosikal hadapi 23 saman bernilai RM4,520, motosikal ditahan dan saman telah dijelaskan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, sebanyak RM24,960 berjaya dikutip dalam tempoh tiga hari pelaksanaan OSTWA.
Menurutnya, operasi yang melibatkan 25 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis itu menyasarkan warga asing yang mempunyai saman tertunggak.
Operasi yang memasuki hari ketiga itu turut berjaya menyelesaikan 143 saman hasil pemeriksaan ke atas 380 kenderaan asing.
Beliau berkata, kesalahan tertinggi yang direkodkan melibatkan tiada lesen memandu, tidak mematuhi syarat permit serta memandu melebihi had laju.
Tambahnya, kutipan tertinggi bagi saman tertunggak membabitkan seorang penunggang motosikal berusia lingkungan 30-an yang mempunyai 23 saman tertunggak bernilai RM4,520.
“Dalam pemeriksaan tersebut, pihak berkuasa turut menahan sebuah motosikal milik warga asing yang mempunyai 23 saman tertunggak. Jumlah keseluruhan saman bagi individu berkenaan adalah sebanyak RM4,520, dan beliau telah menjelaskan saman tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi di hadapan Perhentian Bas Padang Besar, di sini.
Sejak Januari hingga kini, sebanyak 177 saman membabitkan warga asing berjaya diselesaikan.