RM3.5 juta diperuntuk menerusi KasihnITA 2026, perkasa ibu tunggal

Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 16 April – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta bagi memperluas pelaksanaan Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITA) 2026 di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan diperluas mensasarkan 5,000 peserta selepas kejayaan 2025 melibatkan hampir 1,900 ibu tunggal di enam zon.
  • Sokongan menyeluruh termasuk bantuan guaman, pengurusan kewangan, dan sokongan psikososial; 90 kes bantuan guaman berjaya diuruskan.
  • Pelaksanaan dua fasa: dalam talian untuk advokasi, diikuti sesi fizikal; pendaftaran dibuka sehingga 20 April.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, susulan pencapaian memberangsangkan program berkenaan tahun lalu yang melibatkan hampir 1,900 ibu tunggal di enam zon seluruh negara pada 2025, peluasannya kali ini menyasarkan penglibatan 5,000 peserta.

“Seperti yang saya nyatakan, kementerian mempunyai kumpulan sasar yang jelas iaitu wanita, keluarga dan masyarakat. Secara menyeluruh, kita memberi tumpuan kepada golongan ini, khususnya wanita yang memerlukan perhatian serta tindakan segera daripada pihak kementerian.

“Terdapat pelbagai isu yang melibatkan wanita yang telah dan sedang kita tangani, dan ini merupakan salah satu daripada usaha tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Tautan KasihnITA 2026 di ibu negara yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying.

Datuk Seri Nancy juga optimis, Kerajaan sentiasa komited memastikan golongan ibu tunggal tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara melalui pendekatan menyeluruh. KasihnITA bukan sekadar program latihan, sebaliknya pelaburan jangka panjang yang mengutamakan masa depan ibu tunggal dan keluarga mereka.

“Kita menerima maklum balas daripada badan bukan kerajaan (NGO) bahawa masih terdapat ibu tunggal yang berdepan situasi apabila perintah mahkamah berkaitan nafkah tidak dipatuhi.

“Walaupun mahkamah telah mengarahkan pihak bapa untuk membayar nafkah, ada yang gagal berbuat demikian. Justeru, kita melihat ini sebagai peluang untuk membantu ibu tunggal serta anak-anak mereka,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 90 kes bantuan guaman berjaya diuruskan bagi membantu ibu tunggal menuntut dan mempertahankan hak mereka.

Untuk tahun ini, pelaksanaan program dibuat dalam dua fasa iaitu secara dalam talian merangkumi sesi advokasi dan pengenalan, diikuti fasa kedua secara fizikal. Pendaftaran program masih dibuka sehingga 20 April ini.

“Kita melihat keperluan terhadap program ini memang wujud, namun masih ramai yang belum mengetahuinya. Justeru, kita menyediakan platform untuk mereka mendapatkan maklumat daripada penceramah berkaitan.

“Antaranya melibatkan aspek pengurusan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), tindakan perundangan, serta sokongan psikososial melalui kerjasama pelbagai agensi.

“Kita membantu setakat mana yang termampu bagi memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Nancy memaklumkan Bantuan Guaman diteruskan dengan peruntukan RM2 juta yang dijangka memberi manfaat kepada 500 permohonan kes tuntutan baharu.

KasihnITA merupakan penjenamaan semula Program Kasih Ibu Tunggal yang diperkenalkan pada 2023. Kini, ia diperkukuh sebagai antara inisiatif utama dalam menyokong Dasar Wanita Negara serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025 hingga 2030.