Krisis tenaga global: Jejas bekalan bahan binaan dan jadual projek

Pensyarah Kluster Kejuruteraan Bangunan dan Pembinaan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Ts Dr. Muhammad Fikri Hasmori (gambar kecil)

KUALA LUMPUR, 17 April – Krisis tenaga global susulan konflik Amerika Syarikat dan Iran mula memberi kesan kepada sektor pembinaan negara, khususnya dari segi kos operasi dan rantaian bekalan bahan binaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan laluan seperti Selat Hormuz memanjangkan masa penghantaran dan meningkatkan kos pengangkutan melalui surcaj risiko dan bahan api.
  • Kenaikan harga minyak menaikkan kos diesel, bitumen, simen dan keluli sekali gus membebankan kos projek dan harga rumah.
  • Kerajaan digalakkan guna VOP, lanjutan tempoh siap serta subsidi logistik dan kelonggaran import untuk menstabilkan rantaian bekalan.

Gangguan di Selat Hormuz, yang menjadi laluan utama kira-kira 25 peratus bekalan minyak dunia, menjejaskan pergerakan logistik global apabila kapal terkandas atau terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh

Situasi itu menyebabkan tempoh penghantaran bahan binaan kritikal seperti keluli, sistem lif dan komponen elektrikal menjadi lebih panjang, sekali gus menjejaskan jadual pelaksanaan projek.

Pensyarah Kluster Kejuruteraan Bangunan dan Pembinaan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Ts Dr. Muhammad Fikri Hasmori berkata, gangguan tersebut turut meningkatkan kos pengangkutan dan logistik industri.

“Apabila laluan utama seperti Selat Hormuz terjejas, kapal perlu mengambil laluan lebih jauh, menyebabkan tempoh penghantaran meningkat antara 10 hingga 20 hari.

“Dalam masa sama, syarikat perkapalan mula mengenakan surcaj risiko perang dan surcaj bahan api, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan kontena secara mendadak,” katanya ketika dihubungi RTM.

Kenaikan Harga Minyak dan Bahan Binaan

Beliau berkata, kenaikan harga minyak global turut memberi kesan berganda kepada sektor pembinaan kerana minyak menjadi komponen utama dalam kos bahan dan operasi.

“Diesel sebagai bahan api utama jentera pembinaan dan lori pengangkutan memberi tekanan langsung kepada kos projek apabila harganya meningkat.

“Selain itu, bahan seperti bitumen yang merupakan produk sampingan minyak turut mengalami kenaikan harga yang menyebabkan kos pembinaan jalan raya mungkin meningkat,” jelasnya.

Impak Kepada Simen dan Keluli

Menurut beliau, kos pengeluaran simen dan keluli juga meningkat berikutan kenaikan kos tenaga dan logistik global.

“Simen memerlukan tenaga haba yang tinggi dalam proses pengeluaran, jadi apabila kos tenaga meningkat, harga simen turut terkesan.

“Bagi keluli pula, walaupun dipengaruhi permintaan global, kos logistik yang meningkat turut menyumbang kepada kenaikan harga di pasaran,” katanya.

Tambah beliau, pemain industri melaporkan kenaikan kos bahan mentah antara 30 hingga 40 peratus dalam tempoh singkat susulan konflik berkenaan.

Kesan itu turut dijangka mempengaruhi harga rumah baharu, dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mengunjurkan pelarasan sekitar satu hingga dua peratus tahun ini.

Langkah Mitigasi Kerajaan

Mengulas langkah mitigasi, Dr. Muhammad Fikri berkata kerajaan boleh mempertimbangkan pengaktifan semula klausa Variation of Price (VOP) bagi membolehkan pelarasan kos kontrak mengikut perubahan harga bahan binaan.

“Pelaksanaan VOP penting bagi memastikan kontraktor tidak menanggung kerugian besar akibat kenaikan kos mendadak, sekali gus mengelakkan projek terhenti.

“Selain itu, pelanjutan tempoh siap projek juga wajar dipertimbangkan bagi menangani gangguan rantaian bekalan global,” katanya.

Cadangan Sokongan Industri

Beliau turut mencadangkan pendekatan sokongan bersasar termasuk kemudahan subsidi logistik bagi mengurangkan tekanan kos kepada pemain industri.

“Kerajaan boleh memperluaskan penggunaan sistem seperti Fleet Card kepada pengangkutan bahan binaan bagi memastikan akses kepada diesel bersubsidi.

“Dalam masa sama, intervensi pasaran seperti kelonggaran import bahan binaan boleh membantu menstabilkan harga jika berlaku kenaikan mendadak di pasaran tempatan,” katanya.

Risiko Jika Konflik Berlarutan

Tambah beliau, sekiranya konflik berlarutan, sektor pembinaan berdepan risiko gangguan lebih besar termasuk penangguhan projek dan tekanan berterusan terhadap kos pembangunan.

“Jika situasi ini berpanjangan, ia boleh menjejaskan momentum pelaksanaan projek dan perancangan pembangunan negara.

“Justeru, keseimbangan antara kawalan kos dan kesinambungan projek amat penting dalam memastikan sektor ini terus berdaya tahan,” katanya.

Pada Rabu lalu, RTM melaporkan  Jabatan Kerja Raya (JKR) kini meneliti secara lebih menyeluruh impak konflik Asia Barat terhadap kenaikan kos sektor pembinaan, termasuk bahan binaan dan penggunaan diesel.