
KOTA KINABALU, 17 April – Fenomena pembekuan ais di kawasan substesen Panalaban, Gunung Kinabalu, berlaku susulan keadaan cuaca kering serta kelembapan udara yang rendah di kawasan berkenaan sepanjang minggu ini.
- Fenomena direkodkan di ketinggian kira-kira 3,272.7 meter di substesen Panalaban pada Khamis.
- Pembentukan ais terlihat pada permukaan tumbuhan dan persekitaran base camp Panalaban akibat penurunan suhu ketara.
- Fenomena semula jadi yang lazim berlaku secara berkala di altitud tinggi Gunung Kinabalu.
- Sabah Parks menasihatkan pendaki dan petugas memakai pakaian sesuai, kekal hidrasi serta mematuhi arahan keselamatan; pengawasan cuaca diteruskan.
Sabah Parks menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian itu direkodkan pada ketinggian kira-kira 3,272.7 meter dari aras laut, pada Khamis.
“Keadaan berkenaan menyebabkan penurunan suhu yang ketara di kawasan altitud tinggi, sekali gus mengakibatkan pembentukan ais pada permukaan tumbuhan dan persekitaran base camp (khemah induk) Panalaban.
“Pembekuan ais merupakan fenomena semula jadi yang lazim berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu,” menurut kenyataan tersebut.
Fenomena itu biasanya berlaku ketika cuaca cerah dan kering, khususnya apabila suhu menurun dengan ketara pada waktu malam hingga awal pagi.
Sehubungan itu, Sabah Parks menasihatkan pendaki, malim gunung, porter serta petugas di Panalaban agar memakai pakaian bersesuaian dengan cuaca sejuk, mengekalkan tahap hidrasi dan mematuhi semua arahan keselamatan yang ditetapkan.
Sabah Parks turut memaklumkan akan terus memantau perkembangan cuaca dan suhu di kawasan altitud tinggi bagi memastikan keselamatan pengunjung serta petugas sentiasa terjamin.