Kerajaan MADANI akan terlibat secara langsung dalam GSF 2.0

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Datuk Sani Araby (kiri) dan Nadir Al-Nuri (kanan) di Perdana Putra

KUALA LUMPUR, 13 Januari – Kerajaan MADANI akan terlibat secara langsung dalam Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang bakal melibatkan penyertaan lebih 80 negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebook memaklumkan, misi berkenaan merupakan kesinambungan perjuangan moral antarabangsa, yang menuntut keberanian untuk menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira batas sempadan, bangsa atau agama.

“Insya-Allah, kita akan menggerakkan segala kudrat untuk membantu dan memperjuangkan hak rakyat Palestin. Keadilan ini tidak boleh lagi ditangguhkan demi sebuah Palestin yang bermaruah dan merdeka,” menurut hantaran itu.

Semasa pertemuan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby yang juga Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM, bersama Pengasas Sumud Nusantara Nadir Al-Nuri, di Perdana Putra petang tadi, Perdana Menteri turut dimaklumkan mengenai Gaza.

“Saya dimaklumkan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing, sekatan bantuan yang berpanjangan, ketidaktentuan konflik, serta penderitaan rakyat Palestin yang terus dihimpit kekejaman,” tambah kenyataan itu.

Berkenaan Misi Sumud Nusantara lalu, Datuk Sani Araby dan Nadir Al-Nuri berkata ia berjaya memecahkan kebisuan dunia dan mengangkat suara Gaza ke pentas antarabangsa.